Skip to main content

Sukan Lain

Che Ku Nur Aida idam pingat emas untuk negara

lawan-pedang-060617.jpg
Selepas pulang ke pangkuan skuad lawan pedang negara, Che Ku Nur Aida Che Ku Rahim, bersyukur dan menganggap peluang beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) dari 19 hingga 30 Ogos depan sebagai medan terbaik menebus kekecewaan di Korat, Thailand, pada 2007.

Menyedari lawan yang bakal dihadapinya cukup sukar untuk dikalahkan, Che Ku Nur Aida enggan menjadikan faktor itu sebagai alasan, sebaliknya bertekad berlatih bersungguh-sungguh demi memburu pingat emas untuk negara.

“Kali pertama beraksi di Korat cukup mengujakan. Namun, kekurangan pengalaman menyebabkan saya gagal menyerlah dan kini saya kembali dalam skuad negara selepas 10 tahun. 

“Memang sudah lama tidak beraksi dalam Sukan SEA tetapi kali ini saya berazam untuk melakukan yang terbaik untuk memburu pingat emas untuk negara. Insya-Allah,” katanya.

Che Ku Nur Aida, 27, menyifatkan latihan secara berteruskan dan keazaman yang tinggi untuk melakar kejayaan menjadi pembakar semangatnya untuk mencipta kejutan dalam Sukan SEA nanti.

“Alhamdulillah, latihan bersama Kelab Lawan Pedang Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan dibantu sokongan jurulatih luar menjadi bekalan terbaik untuk saya mengharungi sesi latihan pusat di Kuala Lumpur,” katanya.

Untuk rekod, Che Ku Nur Aida, jaguh yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, pernah merangkul pingat emas bagi kategori wanita dalam Kejohanan Lawan Pedang Kebangsaan 2016. 
 

Advertisement

Must Watch Video