Skip to main content

Sukan Lain

Catat 10.28 saat, Jonathan sambar perak di Korea

jonathan-catatan.jpg
Atlet 100 meter kebangsaan kelahiran Sarawak, Jonathan Nyepa, mencipta 10.28 saat untuk menduduki tempat kedua Kejohanan Olahraga Terbuka Korea Selatan di Jeongseon, Gangwon-do, semalam .

Kejayaan membanggakan itu diiringi dengan kejayaan seorang lagi rakan senegeri, Nixson Kennedy, untuk mencatat 10.43 saat bagi menduduki tempat keempat dalam saingan yang sama.

Pingat emas dimenangi pelari tuan rumah; Kim Kok Young, yang mencipta 10.07 saat untuk memecah rekod kebangsaan negara itu.

Pingat gangsa turut dimenangi pelari tuan rumah Lee Jae-ha, yang mencatat 10.41 saat bagi meninggalkan Nixson.

Ia kejayaan yang amat membanggakan bagi atlet berusia 21 tahun itu, setelah sebelum ini tumpas kepada Khairul Hafiz Jantan yang memecah rekod kebangsaan dengan catatan 10.18 saat dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Kuching,  tahun lalu.

Pecutan atlet anak didik The Flying Dayak, Watson Nyambek, itu berjaya membaiki catatan terbaik peribadinya, 10.36 saat; yang direkodkan dalam Sukma Sarawak.

Ia sekaligus menjadi masa terpantas yang dicatatkan atlet Malaysia tahun ini.

Yang jelas, kejayaan ini membolehkan kedua-dua atlet ini layak secara merit ke Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur, Ogos depan, yang had masa kelayakannya ditetapkan pada 10.45 saat.

Pada April lalu, Nixson pernah mencatatkan 10.25 saat ketika memenangi Terbuka Pahang.

Ia juga berita baik kepada negara kerana kejayaan ini sekali gus membuka pintu saingan kepada sekurang-kurangnya tiga atlet negara ini untuk merebut gelaran Raja Pecut Asia Tenggara.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kejayaan kedua-dua atlet itu amat membanggakan.

"Berkat usaha gigih Jonathan, sudah ada sinar dan peningkatan dalam prestasinya.

"Catatan 10.28 saat ini adalah catatan kedua di bawah 10.30 saat oleh pelari Sarawak selepas Watson Nyambek.

"Saya yakin ini hanya permulaan dan kedua-duanya akan terus mencipta kejayaan," tambahnya.

Abdul Karim berharap dengan kejayaan melepasi had kelayakan, kedua-dua atlet ini akan terus mencipta kejutan dalam Sukan Sea Kuala Lumpur pada Ogos kelak.

Advertisement

Must Watch Video