Skip to main content

Advertisement

Sukan Asia

Boling tenpin: Rafiq pasang hajat besar

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

rafiq-ismail.jpg
Pemain boling tenpin negara, Rafiq Ismail, mengidamkan pingat emas Kejohanan Remaja Dunia (WYC) di Detroit, Amerika Syarikat (AS) agar dapat membawa aura kejayaan itu dalam Sukan Asia Indonesia, bulan depan. 

Tugas getir menanti Rafiq apabila bakal berdepan kejohanan itu buat kali ketiga tatkala temasya Jakarta-Palembang 2018 begitu hampir dengan tarikh saingan.

Namun, dia menganggap itu hanya perkara biasa dengan misi merangkul emas menjadi keutamaan sebagai penutup karier dalam saingan remaja selepas setakat meraih perak dan gangsa dalam edisi sebelum ini.

Paling utama, pencapaian di AS itu akan menjadi penilaian kepada Rafiq untuk memastikan aksi konsisten diteruskan dalam Sukan Asia.

"Ini adalah kali terakhir untuk saya menyertai WYC. Jadi, saya harap dapat mengakhiri kempen dengan pencapaian terbaik dengan menyasarkan satu pingat emas. 

"Saya harap dapat emas dan paling tidak pun membawa pulang medal bagi melonjakkan keyakinan  untuk menghadapi Sukan Asia. 

"Saya tidak akan meletakkan harapan tinggi dalam WYC kerana tumpuan utama saya ialah dalam Sukan Asia," katanya. 

Bagaimanapun, Rafiq mengakui masih bergelut untuk membiasakan diri dengan sistem pemarkahan berbeza yang bakal diperkenalkan dalam Sukan Asia buat julung kalinya.

"Format diamalkan ketika ini, sekiranya seseorang pemain itu membuat strike dan spare, mereka akan memungut lebih banyak markah. 

"Namun, format Sukan Asia kali ini mengetengahkan sistem pemarkahan yang berbeza. Lontaran strike akan mendapat 30 mata manakala spare, 20 mata. 

"Kiraannya satu persatu," ujarnya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video