Skip to main content

Sukan Asia

Boling padang: Skuad negara tidak tertekan, kata Siti Zalina

zalina9418.jpg
Pemain boling padang wanita negara, Siti Zalina Ahmad, menolak tanggapan rakan-rakannya kini tertekan selepas tiada wakil negara berjaya menyumbang pingat dalam empat daripada lapan acara yang sudah berlangsung dalam Sukan Komanwel Gold Coast.

Peluang masih ada buat atlet negara untuk memastikan sejarah hitam pulang tanpa sebarang pingat tidak berlaku sejak penyertaan sulung dalam Kuala Lumpur 1998.

Zalina merupakan pemain paling berpengalaman negara menegaskan api perjuangan mereka belum padam dalam usaha melakar kebangkitan dalam baki empat acara.

Sebelum ini, wakil negara dalam acara perseorangan wanita, berpasangan lelaki dan berpasukan wanita terkandas dalam suku akhir manakala trio lelaki gagal melepasi peringkat kumpulan.

"Saya dan kawan-kawan lain masih bersemangat dan postif. Semalam pun, kami ada bertemu dengan  (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara), Datuk Ahmad Shapawi (Ismail). Beliau memberikan kata-kata semangat kepada kami. 

"Kami belum hilang arah lagi. Bagi kami, kami tidak dapat ke peringkat lebih tinggi, tetapi kami tidak gagal, kami belum berjaya lagi. Kami masih ada empat acara lagi. Diharap dapat bersabar dengan kami," kata Zalina. 

Zalina yang bergandingan dengan Emma Firyana Saroji dalam acara berpasangan wanita hari ini membuka aksi pembukaan Kumpulan C dengan cemerlang apabila menewaskan wakil Brunei, 28-10.

Emma, yang masih terasa kegagalan acara perseorangan, berharap gabungan mereka mampu melangkah jauh dengan sasaran ke pentas akhir. 

"Alhamdulillah, kami bermula baik untuk perlawanan pertama. Insya-Allah, momentum itu akan sampai ke akhir.

"Apabila bermain dengan pasangan ini ada sokongan. Saya tiada tekanan dan kami akan membuat sehabis baik," kata Emma.

Advertisement

Must Watch Video