Skip to main content

Sukan Lain

Boling padang nikmati potongan separuh harga

boling-padang.jpg
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sedia memberikan potongan harga 50 peratus kepada Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) untuk menggunakan kemudahan di Pusat Boling Padang Bukit Kiara. 

Nadi Arena pada Ahad lalu melaporkan PLBM kurang gembira dengan kadar bayaran yang dikenakan PSM bagi penggunaan Pusat Boling Padang Bukit Kiara yang disifatkan terlalu tinggi. 

Perkara itu mendapat perhatian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Azman Fahmi Osman, yang kini dalam proses memuktamadkan kadar baru kepada PLBM.

Potongan 50 peratus itu termasuk penggunaan gelanggang berbumbung dan terbuka bagi kegunaan latihan serta kejohanan. 

"Kami telah mengkaji bagi tujuan menawarkan harga terbaik. Kami telah bersetuju untuk mengurangkan kadar bayaran itu sebanyak 50 peratus. 

"Kami juga sedia berbincang dengan PLBM sekiranya terdapat apa-apa lagi perkara yang boleh ditambah baik serta peluang bekerjasama supaya sukan boling padang dapat dipopular dan digunakan untuk orang ramai," ujar Azman. 

Kadar bayaran dikenakan sebelum ini bagi gelanggang berbumbung ialah RM1,500 dan gelanggang luar, RM1,000, manakala bagi tujuan latihan, RM35 bagi tempoh sejam di setiap gelanggang. 

Jelas Azman, harga dikenakan sebelum ini berdasarkan pemantauan di tempat lain yang disifatkan masih berpatutan. 

"Daripada segi kualiti dan kemudahan, Pusat Boling Padang Bukit Kiara lebih baik berbanding di tempat lain, namun itu bukan alasan untuk kami menaikkan harga. 

"Kami perlu membantu persatuan dan sukan ini supaya lebih ramai orang dapat menggunakannya.

"Harga yang dikurangkan itu pun masih lagi kompetitif dengan harga-harga di tempat lain," katanya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video