Datuk Azizulhasni Awang pasrah untuk menutup karier Kejohanan Dunia UCI dengan nota terkandas dalam separuh akhir kedua keirin yang menyaksikannya menduduki tempat keempat, seterusnya gagal layak ke perlumbaan akhir.

Azizulhasni meneruskan juga dengan perlumbaan di saingan klasifikasi tempat ke-7 hingga 12 di sebalik nasihat doktor dan permintaan jurulatih, John Beasley, kerana mungkin kerana memikirkan pungutan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Dan hasilnya Azizulhasni sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan.

"Saya tidak sempat pulih kerana telah berikan 110 peratus dan sejurus perlumbaan separuh akhir, saya terasa pening, macam mana nak rebah.

"Tetapi saya bertahan dan mengakhiri perlumbaan lalu menuju ke pit.

"Saya tidak dapat menghabiskan kayuhan dan rebah.

"Saya rasa sukar untuk bertahan, sakit kepala dan turut berasa takut. Saya tidak pasti apa yang berlaku dan kekal terbaring.




"Dada terasa sesak dan selepas beberapa ketika, saya berjumpa doktor dan dibawa ke bilik rawatan," katanya.

Keadaan kesihatan yang dialami Azizulhasni pasti menimbulkan keresahan dalam kalangan peminat dan juga pihak berkuasa sukan negara tatkala jaguh berbasikal negara itu menjadi sandaran pingat emas dalam Sukan Olimpik.

"Paras gula saya agak rendah dan ia tidak pernah berlaku.

"Mungkin akibat pembedahan sebelum ini atau disebabkan perlumbaan sengit dalam suku akhir.




"Doktor menasihati saya agar menarik diri dan begitu juga John yang khuatir terhadap kesihatan saya.

"Tetapi selepas mengambil sedikit masa, saya memutuskan untuk meneruskan perlumbaan tapi keputusan kejohanan ini tidak seperti yang dijangkakan.

"Lagipun ini Kejohanan Dunia terakhir buat saya tapi begitulah seadanya.

"Mungkin ada perkara positif untuk masa depan," katanya.

Pelumba Colombia, Levin Santiago Wuintero yang berbaju biru mencipta kejutan dengan memenangi acara keirin mengenepikan beberapa jagoaan antaranya Harrie Lavreysen dari Belanda.