Selangor Red Giants (SRG) dan Team Vamos sekali lagi membuktikan status mereka sebagai kuasa besar Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) negara apabila mengesahkan slot ke Mid Season Cup (MSC) 2026 di Perancis selepas melangkah ke pentas Grand Final Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-17 ini.
SRG terlebih dahulu menempah tiket ke perlawanan akhir selepas menundukkan Invictus Gaming (IG) 3-1 dalam aksi separuh akhir upper bracket, sebelum Team Vamos melengkapkan final idaman peminat tanah air apabila turut menewaskan IG dalam perlawanan separuh akhir lower bracket dengan kemenangan bergaya 4-0 untuk memastikan dua pasukan gergasi Malaysia itu membawa jalur gemilang ke pentas dunia.
Apa yang lebih menarik, MSC edisi kali ini menjadi MSC pertama yang berlangsung di benua Eropah sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2017.
Bagi SRG, ini merupakan penampilan ketiga berturut-turut mereka di pentas MSC dengan pernah mencipta sensasi tersendiri pada edisi 2024 apabila muncul juara selepas menewaskan pasukan gergasi Filipina, Falcons AP Bren 4-3 dalam perlawanan akhir di Riyadh, sekali gus menamatkan penantian panjang Malaysia untuk menjulang kejuaraan antarabangsa utama MLBB.
Rekod itu jelas meletakkan anak buah Michael Angelo Bocado atau lebih dikenali sebagai Arcadia sebagai antara pasukan paling digeruni di pentas dunia, selain hadir ke Perancis nanti dengan misi merampas semula mahkota mereka.
Sementara itu, Team Vamos juga tidak kurang hebatnya selepas terus membuktikan kemunculan mereka bukan sekadar fenomena sementara dengan mencipta impak besar dalam beberapa perlawanan musim ini, dengan mereka kini mengesahkan penampilan kedua berturut-turut di MSC.
Namun, sebelum mengalihkan fokus ke Paris, tumpuan kini terarah kepada pertembungan Grand Final MPL Malaysia yang bakal menemukan dua pasukan terbaik negara itu dalam perebutan gelaran juara musim, hari ini.
SRG turun sebagai juara bertahan dengan status empat musim berturut-turut dan pasukan paling konsisten sepanjang musim, namun Team Vamos memiliki keyakinan tersendiri selepas pernah menewaskan Gergasi Merah itu sebelum ini.
Dengan mata turut terarah kepada kepulangan kapten SRG, Mark Genzon Sojero Rusiana yang lebih mesra disapa Kramm, yang kembali memperkuat SRG selepas terlepas beberapa aksi penting sebelum ini.
Kehadirannya dijangka menjadi suntikan terbesar buat SRG, lebih-lebih lagi pengalaman dan ketenangannya sering menjadi faktor pembeza dalam perlawanan berprofil tinggi.
Malah jurulatih Vamos, Afrindo Valentino atau lebih dikenali sebagai Valdo, mengakui kemenangan pasukannya ke atas SRG sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran mutlak kerana ketika itu SRG tidak menurunkan barisan terbaik mereka.