Skip to main content

Sukan Asia

Berbasikal trek: Azizulhasni sentiasa jadi sasaran lawan

josiah_1.jpg
“Reputasi besar Azizulhasni Awang sentiasa menjadikannya sasaran utama buat pelumba lain untuk mengalahkannya.”

Itu pandangan jurulatih berbasikal trek Thailand, Josiah Ng, selepas pelumbanya, Jai Angsuthasawit, mencipta kejutan meraih emas acara keirin Sukan Asia 2018 di Velodrom Antarabangsa Jakarta, hari ini.

Josiah, yang juga bekas pelumba kebangsaan, tidak dinafikan mempunyai pengetahuan yang luas terhadap kemampuan serta strategi Azizulhasni.

Bagaimanapun, dia menjelaskan kejayaan yang diraih Angsuthasawit adalah disebabkan usaha yang dipamerkan pelumba berusia 23 tahun itu untuk menyaingi kehebatan pelumba handalan lain.

"Azizulhasni masih mampu mendapatkan pingat. Saya mengingatkan Angsuthasawit bahawa itu yang perlu dilakukan apabila berdepan pelumba handalan seperti Azizulhasni. Boleh jadi anda akan menamatkan saingan di tempat kedua," kata Josiah.

"Kepercayaan menjadi kunci utama dan saya tahu bagaimana untuk mendapatkan prestasi terbaik daripada atlet saya. Jadi, itulah kunci sebenar."

Sementara itu, Angsuthasawit tidak menduga percaturannya mengikut rentak kayuhan Azizulhasni berhasil selepas dia meraih emas acara keirin.

Kemampuan sebenarnya terserlah selepas dia menewaskan Yudai Nitta serta Azizulhasni dalam saingan separuh akhir pertama.

Angsuthasawit juga menambah satu cabaran utama buat dirinya semestinya sewaktu menewaskan Azizulhasni yang juga merupakan antara idola buatnya.

"Saya tidak tahu mahu katakan apa. Ia adalah pingat pertama saya dalam saingan elit yang pertama. Segalanya jadi permulaan buat Thailand.

"Ia sangat bagus. Saya gembira kerana Azizulhasni merupakan nama besar. Dia adalah juara dunia pada tahun lalu. Sejak menjuarai saingan remaja, saya meminatinya," ujarnya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video