Skip to main content

Ragbi

Enervive Sports terus memacu profesionalisme kepengadilan ragbi Malaysia

Enervive Sports terus memacu profesionalisme kepengadilan ragbi Malaysia

Enervive Sports kembali menegaskan komitmen kukuhnya dalam membangunkan sukan ragbi negara melalui sambungan kerjasama strategik bersama Malaysia Rugby (MR).

Menerusi jenama sukan EV, Enervive Sports terus menjadi penaja rasmi pakaian pengadil kebangsaan, memastikan barisan pengadil Malaysia tampil dengan profesionalisme tinggi di semua kejohanan utama kebangsaan, termasuk Piala Agong, National 7’s, kejohanan 15-sebelah wanita, serta kejohanan kelolaan Enervive Sports sendiri seperti Super Schools Rugby, Super Varsity Rugby dan Corporate Super Rugby.

Advertisement

Majlis pengumuman rasmi sambungan kerjasama ini berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Enervive Sports, Muhammad Syafiq Bin Musa, dan Pengarah Kepengadilan Malaysia Rugby, Nik Ramadhan Nik Abdullah. Turut hadir ialah Timbalan Presiden Malaysia Rugby, Mohd Azmir bin Zainul Abidin, dan Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shaharudin.

Shahrizin Shaharudin berkata, “Di Enervive Sports, kami percaya pembangunan sukan yang holistik bermula dengan integriti dan profesionalisme. Dengan menyokong barisan pengadil kebangsaan dan menyediakan pakaian rasmi berkualiti tinggi, kami bukan sahaja memperkukuh mutu kepengadilan, tetapi juga memacu ekosistem ragbi Malaysia ke tahap lebih berdaya saing.”

Muhammad Syafiq Bin Musa pula menambah, “Kerjasama berterusan ini membuktikan pendekatan strategik kami dalam membangunkan setiap aspek sukan ragbi – dari akar umbi hingga ke pentas kebangsaan. Enervive Sports komited untuk menjadi pemacu utama profesionalisme dan inovasi dalam sukan ini.”

Pakaian rasmi pengadil jenama EV bakal digunakan sepanjang musim 2026, bermula dengan Super Schools Rugby yang kelolaan Enervive Sports, bermula 7 April ini.

Dengan pendekatan ini, Enervive Sports menonjol bukan sekadar sebagai penaja, tetapi sebagai peneraju pembangunan profesionalisme dan mutu kepengadilan dalam ragbi Malaysia, menunjukkan kepimpinan industri yang berkesan dan visi jangka panjang untuk sukan negara.

Topik Berkaitan

Must Watch Video