Dunia sukan dikejutkan dengan pendedahan terbaru melibatkan legenda golf, Tiger Woods, yang dilaporkan sempat menghubungi Donald Trump sebelum ditahan atas kes memandu di bawah pengaruh (DUI) baru-baru ini.
Perkara itu terbongkar menerusi rakaman kamera badan (bodycam) pihak polis yang menunjukkan Woods membuat panggilan telefon sejurus selepas kemalangan berlaku di Florida.
Advertisement
Insiden tersebut berlaku pada 27 Mac 2026 apabila kenderaan jenis SUV dipandu Woods terlibat dalam kemalangan sehingga terbalik.
Menurut laporan pihak berkuasa, Woods menunjukkan tanda-tanda 'terjejas' ketika diperiksa di lokasi kejadian, walaupun ujian pernafasan menunjukkan bacaan sifar alkohol.
Bagaimanapun, dia gagal ujian ketenangan (field sobriety test) dan enggan menjalani ujian air kencing, sebelum akhirnya ditahan atas tuduhan DUI.
Apa yang mencuri perhatian adalah kenyataan Woods sendiri kepada pegawai bahawa beliau baru sahaja bercakap dengan 'presiden' melalui telefon.
Rakaman turut menunjukkan Woods berada dalam keadaan bingung dan masih menggunakan telefon selepas kemalangan, dengan laporan mengesahkan panggilan tersebut dibuat kepada Donald Trump, yang juga merupakan kenalan rapatnya.
Trump kemudian tampil memberikan sokongan kepada Woods, menyifatkan pemain golf itu sebagai 'rakan rapat' dan mengaitkan keadaannya dengan masalah kesakitan kronik akibat kecederaan lama.
Pihak polis turut menemui beberapa pil ubat jenis opioid (hydrocodone) dalam poket Woods. Dia mengakui mengambil ubat tersebut, yang dipercayai berkait dengan rawatan kesakitan akibat kecederaan berulang sepanjang kariernya.
Pegawai turut melaporkan Woods kelihatan lesu, tidak fokus dan mempunyai anak mata yang membesar -- antara petunjuk biasa individu yang berada di bawah pengaruh bahan tertentu.
Woods telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan dan dijangka menghadapi proses perbicaraan.
Dalam perkembangan sama, pemenang 15 kejuaraan major itu mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia golf dan menjalani rawatan di luar negara bagi memberi fokus kepada pemulihan dirinya.
Pendedahan panggilan kepada Donald Trump menambah lagi kontroversi dalam kes ini, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai pengaruh, tekanan hidup atlet elit dan isu kesihatan yang dihadapi oleh bintang sukan.
Apa yang pasti, episod ini menjadi satu lagi cabaran besar dalam perjalanan karier Tiger Woods -- legenda yang pernah mendominasi dunia golf, namun kini berdepan ujian di luar lapangan.