Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi Ke-42 bakal berlangsung dari 9 Mei hingga 28 Jun 2026, menghimpunkan sembilan (9) pasukan terbaik dari seluruh negara dalam tempoh lapan minggu pertandingan yang dijangka sarat dengan aksi menarik dan persaingan sengit.
Pasukan yang akan mengambil bahagian pada edisi kali ini ialah Kedah, Terengganu, Kelantan, ATM, PDRM, Johor, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Advertisement
Menariknya, kembalinya pasukan Putrajaya dan Negeri Sembilan ke pentas Piala Agong tahun ini dijangka menambah kemeriahan serta meningkatkan tahap daya saing kejohanan berprestij ini. Dari segi format pertandingan, kesemua pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B.
Juara bertahan, PDRM, akan mengetuai Kumpulan A manakala naib juara edisi lalu, Johor, akan mengetuai Kumpulan B. Kejohanan ini akan melalui beberapa peringkat utama iaitu peringkat kumpulan, diikuti suku akhir, separuh akhir, perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat, dan seterusnya perlawanan akhir.
Perlawanan bagi peringkat kumpulan hingga separuh akhir akan berlangsung di venue pasukan bertanding, manakala perlawanan akhir serta penentuan tempat ketiga/keempat akan diadakan di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor.
Penganjuran kejohanan ini turut menawarkan hadiah wang tunai yang menarik seperti berikut:
Johan – RM20,000.00
Naib Johan – RM15,000.00
Tempat Ketiga – RM10,000.00
Tempat Keempat – RM5,000.00
Pemain Terbaik – RM1,000.00
Selain itu, kejohanan ini turut memainkan peranan penting sebagai platform pemilihan pemain bagi skuad kebangsaan Bunga Raya 15 sebelah (15s) yang dijangka akan menyertai kejohanan Union Cup – SEA XV Championship 2026 pada pertengahan Julai di Thailand. Prestasi cemerlang pemain sepanjang Piala Agong akan menjadi antara kriteria utama dalam pemilihan skuad negara.
Sebagai nilai tambah kepada penganjuran kali ini, turut berlangsung Majlis Penyerahan Replika Cek bagi kerjasama strategik antara Kesatuan Ragbi Malaysia dan Spritzer selaku Rakan Hidrasi Rasmi bagi Kejohanan Piala Agong 2026.
Kejohanan Piala Agong kekal sebagai antara pertandingan ragbi paling berprestij di Malaysia serta menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu, di samping memperkukuh pembangunan sukan ragbi di peringkat kebangsaan.