GOLD COAST 2018
Berbasikal: Shah Firdaus cipta sejarah tersendiri
Biarpun pulang dengan tangan kosong, Muhammad Shah Firdaus Sahrom boleh berbangga dengan pencapaian hari ini apabila muncul pelumba berbasikal trek pertama Malaysia yang berjaya layak ke pusingan penentuan pingat dalam acara pecut Sukan Komanwel 2018.
Dalam penentuan pingat gangsa di Velodrom Anna Meares itu, pelumba tuan rumah, Jacob Schmid, mengatasi Muhammad Shah Firdaus dengan kelebihan 0.235 saat dalam perlumbaan pertama dan 0.032 saat dalam perlumbaan kedua.
Pelumba negara berusia 22 tahun itu pada awalnya hanya mahu memperbaiki catatan peribadinya dalam pusingan kelayakan, seterusnya mara ke peringkat penyingkiran dengan kedudukan di tempat ke-16 dengan catatan masa 10.013 saat, yang juga merupakan pelumba terakhir layak ke peringkat 1/8.
Iklan
Dalam pusingan penyingkiran, Shah Firdaus mencipta kejutan apabila menyingkirkan juara dunia, Matt Glaetzer, yang juga pelumba tuan rumah untuk mara ke peringkat suku akhir.
"Bila saya tengok Glaetzer, saya rasa hendak tunjukkan sesuatu sebab penonton pastinya berbangga dengan pelumba mereka yang jadi juara dunia. Bila saya menang dengan Glaetzer, saya mula tingkatkan motivasi diri dan setiap perlumbaan rasa macam final.
"Saya akui agak gementar berdepan juara bertahan, Sam Webster (New Zealand). Berdasarkan taktik Sam, dia ikut apa saja tindakan saya. Tetapi pencapaian yang dicapai hari ini adalah yang terbaik buat saya.
"Saya cuba sedaya upaya untuk kalahkan Jacob tapi masa itu saya dapatkan rasakan kaki saya macam tidak kuat. Saya kalah tapi saya puas hati sebab sudah bagi semua yang saya ada hari ini," katanya.
Dalam pada itu, Shah Firdaus sedikit terkilan kerana tidak dapat meraih pingat gangsa yang mahu dijadikan sebagai hadiah ulang tahun kelahiran ibu dan juga jurulatihnya, John Beasley.
"Saya ingatkan bolehlah bagi hadiah gangsa buat hadiah hari jadi emak dan jurulatih tetapi memang bukan rezeki saya. Banyak pengalaman yang saya dapat kali ini," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangan seterusnya, Shah Firdaus berkata Beasley secara peribadi menyatakan beliau percaya kepada kebolehan dan kemampuan pelumba muda itu.
"Kita sudah setanding dengan pelumba-pelumba ternama, cuma pengalaman dan keyakinan diri yang membezakan kita. Jurulatih pun dah tengok kemampuan kami dan ada masa lagi untuk memperbaiki kekurangan menjelang Sukan Asia, Ogos nanti," katanya.
-- Bernama
Must-Watch Video