GOLD COAST 2018
Berbasikal: Azizulhasni 'tercicir' di Velodrom Anna Meares
Hasrat pelumba berbasikal trek sensasi negara, Azizulhasni Awang, untuk menaiki podium di Velodrom Anna Meares tidak kesampaian apabila tercicir di tangga keenam final acara keirin Sukan Komanwel Gold Coast, sebentar tadi.
Bekas juara dunia 2017 itu tercicir dalam pusingan terakhir untuk mengakhiri perlumbaan di belakang juara merangkap peserta tuan rumah, Matt Glaetzer, disusuli Lewis Oliva dari Wales manakala pelumba New Zealand, Edward Dawkins, membawa pulang gangsa.
"Sememangnya pelumba-pelumba yang melayakkan diri ke final adalah bertaraf dunia. Untuk pusingan pertama dan kedua, semua perancangan yang dilakukan telah berjalan lancar. Jurulatih sendiri kagum dengan persembahan saya, begitu juga diri saya sendiri.
Iklan
"Apabila di final, waktu rehat memang pendek, hanya sekitar 15 minit sebelum ke perlumbaan seterusnya. Apa yang boleh saya lakukan adalah cuba mengawal pernafasan, teknik kayuhan serta cuba tenangkan diri," katanya.
Azizulhasni, bagaimanapun, tidak begitu terkilan memandangkan telah memberikan usaha terbaik, namun masalah virus di paru-paru sebelum ini turut mempengaruhi kayuhannya sejak Kejohanan Trek Berbasikal Dunia di Apeldoorn, Belanda, awal bulan lalu.
"Jurulatih sendiri dapat melihat keadaan saya yang tidak sempat mempersiapkan diri untuk ke aksi seterusnya.
"Sewaktu perlumbaan, saya telah melakukan yang terbaik dan ternyata telah kepenatan sewaktu babak akhir, bahkan saya sukar untuk bernafas selepas itu.
"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan dan menyokong saya. Saya memohon maaf kerana tidak dapat menghadiahkan pingat pada kali ini. Perjuangan akan diteruskan dalam Sukan Asia nanti," katanya yang menarik diri daripada acara pecut.
Terdahulu, dua lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, gagal melepasi saingan repechage.
Must-Watch Video