GOLD COAST 2018
Badminton: Norza akur gagal capai sasaran
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akur dengan kegagalan mencapai sasaran tiga emas selepas hanya dua wakil negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu wanita, Vivian Hoo-Chow Mei Kuan, layak ke final Sukan Komanwel Gold Coast.
Sasaran pertama yang gagal menepati ramalan adalah acara berpasukan campuran apabila tewas final di tangan India.
Prospek kedua yang berputih mata, beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang juga penyandang pingat emas daripada edisi empat tahun lalu di Glasgow.
Iklan
Malah, beregu campuran senior, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, tidak berupaya memainkan peranan sebagai penyelamat, turut tersingkir dalam separuh akhir.
"Sekali lagi berasa kecewa dengan persembahan pemain kita, terutama beregu lelaki.
"Apa yang saya katakan dari awal, kebergantungan kita kepada pemain lama hari ini menunjukkan strategi itu tidak menjadi," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.
Atas dasar itu, dua emas yang tinggal menjadi rebutan adalah berharga bukan sahaja buat skuad badminton tetapi kontinjen negara.
"Saya mahukan pingat emas bukan sahaja daripada aspek badminton tetapi kontinjen negara memerlukan dua emas untuk kita melepasi apa yang kita capai di Glasgow.
"Saya berharap beregu wanita dan Datuk Lee Chong Wei dapat bermain habis-habisan, terutama Chong Wei. Namun, kita berharap apa yang terbaik daripada perlawanan esok," katanya lagi.
Must-Watch Video