Skip to main content

Sukan Asia

Badminton: Malaysia jumpa Scotland dalam suku akhir

shevon.jpg
Skuad badminton negara mengesahkan laluan ke suku akhir acara berpasukan campuran Sukan Komanwel Gold Coast sebagai juara Kumpulan D selepas menewaskan Kanada 4-1, sebentar tadi. 

Beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai, memberikan permulaan yang diidamkan Malaysia. 

Mereka yang diberi peranan besar berbanding gandingan senior, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, menghadiahkan mata pertama dengan menewaskan Nyl Kiyoshi Yakura-Kristen Tsai, 21-17, 21-12.

"Saya rasa Malaysia menampilkan aksi yang bagus. Semua pemain menyokong dan membantu antara satu sama lain.

"Saya ingin membantu negara meraih mata tetapi ia juga agak tertekan," kata Shevon.

Datuk Lee Chong Wei yang direhatkan dalam aksi menentang Seychelles pada sebelah pagi tidak berdepan sebarang tentangan bertemu Jason Ho-shue. 

Pemain perseorangan negara itu yang menjadi antara tarikan utama dalam temasya Gold Coast 2018, menang 21-6, 21-5. 

Bagaimanapun, perseorangan wanita, Soniia Cheah, gagal memanfaatkan kelebihan ketika menentang Michelle Li. 

Li, pemain yang di ranking lebih tinggi berbanding Soniia bangkit selepas tewas 21-14. 

Dia membuktikan bahawa dia juga adalah pilihan emas saingan individu apabila memenangi dua set berikutnya 21-19, 21-15. 

Mata penting yang dicari Malaysia hadir menerusi beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Goh V Shem. 

Gandingan Yakura-Ho shue cuba menawarkan tentangan dalam set pertama, namun akhirnya tunduk 21-14, 21-13. 

Kemenangan Malaysia dimuktamadkan beregu wanita, Vivian Hoo-Chow Mei Kuan, menerusi kemenangan 21-16, 21-9 ke atas Rachel Honderich-Kirsten Tsai. 

Bagi Chong Wei, kejayaan kecil bergelar juara kumpulan akan mengukuhkan lagi keserasian pasukan bagi menghadapi cabaran sebenar menentang Scotland dalam suku akhir. 

"Sememangnya ini adalah acara berpasukan tetapi ia juga menjadi persediaan buat kami. Kami sudah berada di tangga teratas dalam kumpulan, jadi kami akan lebih fokus untuk menghadapi aksi kalah mati dalam suku akhir," kata Chong Wei.
 

Advertisement

Must Watch Video