Skip to main content

Sukan Asia

Badminton: Chong Wei tidak pernah mengecewakan

chongwei.jpg
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, tidak pernah mengecewakan kontinjen Malaysia jika diberi tanggungjawab untuk membawa cabaran negara dalam mana-mana kejohanan mahupun temasya besar.

Ia terbukti apabila pemain ketujuh dunia itu menyumbang pingat emas dalam Sukan Komanwel 2018 selepas menang 2-0 ke atas pemain nombor satu dunia dari India, K. Srikanth, hari ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, ternyata berbangga dengan pencapaian Chong Wei dan juga pasukan badminton negara yang telah menyumbang dua emas, satu perak dan dua gangsa dalam edisi 2018. 

“Tekanan telah diletakkan kepada skuad badminton yang mana kita sentiasa menjadi harapan kepada kontinjen negara untuk menyumbang pingat. Namun, Chong Wei dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Vivian Hoo, sangat membanggakan kita semua. 

“Selepas kita mendapat tamparan dalam acara berpasukan campuran, semangat mereka tidak luntur untuk terus mempamerkan aksi yang cukup sengit dalam final individu hari ini.

"Chong Wei tidak pernah mengecewakan dan beliau merupakan ikon kepada semua,” katanya di Carrara Sports and Leisure Centre. 

Beliau berkata Chong Wei telah menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila dengan bersungguh-sungguh mematahkan kemaraan dua pemain India, HS Prannoy (separuh akhir) dan Srikanth (final) yang jauh lebih muda daripadanya (perbezaan umur 11 tahun).  

Katanya, cabaran yang terpaksa dihadapi Chong Wei dalam Sukan Komanwel kali ini untuk menang pingat emas bukan mudah apabila dia terpaksa menentang pemain nombor satu dunia (Srikanth) dan pemain ke-11 dunia (Prannoy). 

Selain Chong Wei, Norza turut memuji prestasi positif Vivian-Mei Kuan yang menang pingat emas walaupun tidak diletakkan sasaran pingat pada awalnya. 

Katanya, beliau tidak menyangka gandingan bukan pilihan kejohanan, Vivian-Mei Kuan mampu bangkit dan menewaskan beregu pilihan dalam temasya kali ini. 

Bagaimanapun, Norza turut melahirkan rasa kecewa terhadap beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang gagal mencapai sasaran apabila sekadar meraih pingat gangsa.

“Kita ada dua beregu pilihan tapi kedua-duanya telah gagal untuk capai sasaran, sangat mengecewakan. Namun, bagi berpasukan campuran, walaupun kita sasar emas tapi hanya dapat perak, namun mereka telah  buat yang terbaik. 

“Pasukan India pilihan utama dengan diwakili beberapa pemain dunia, jadi logik jika hanya raih pingat perak. Pasukan telah buat yang terbaik walaupun di sebalik ketewasan mereka,” katanya. 

Mengulas mengenai persediaan ke Piala Thomas bulan depan, Norza berkata BAM masih perlu bergantung kepada Chong Wei untuk beraksi di Bangkok nanti. 

“Kita akan balik buat post mortem dengan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) untuk lihat apa yang perlu diperbaiki sebelum turun beraksi dalam Piala Thomas,” katanya yang kecewa dengan prestasi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang tidak menonjol dalam Masters China. 

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video