Skip to main content

Sukan Asia

Badminton: Berpasukan campuran negara dalam laluan pertahan emas

chongwei7418-(1).jpg
Skuad badminton berpasukan campuran negara kekal di landasan untuk mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel sejak edisi 2006 apabila mengesahkan tiket perlawanan akhir temasya Gold Coast 2018 dengan India, esok. 

Dalam aksi separuh akhir di Arena Sukan Carrara sebentar tadi, beregu utama lelaki negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, memulakan kemenangan 3-0 Malaysia apabila tidak menghadapi masalah besar untuk mengetepikan cabaran pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016, Marcus Ellis-Chris Langridge, 21-9,  21-11. 

"Kami mempamerkan aksi yang kemas dalam perlawanan tadi dan tidak banyak kesilapan dilakukan. Diharapkan ia dapat berterusan," kata V Shem.

Menurut Wee Kiong pula: "Apa yang kami fokus adalah mendapatkan mata tanpa memikirkan perlawanan pertama menjadi wajib untuk menang."

Dalam usaha meraih mata kedua, perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, bermandi peluh berikutan Chloe Birch tidak memberi laluan mudah kepadanya. 

Birch tidak membiarkan jurang ranking mempengaruhi pertarungan mereka apabila mengheret permainan ke set penentuan selepas bangkit daripada kekalahan 21-17 untuk meraih kemenangan 21-15. 

Bagaimanapun, Soniia lebih bijak mengawal gelanggang pada penghujung pertarungan untuk menoktahkan permainan 21-18.

"Saya rasa diri saya benar-benar menunjukkan kemampuan terbaik dan lawan juga memberikan tentangan hebat tetapi saya dapat menanganinya," ujar Soniia.

Sementara itu, Datuk Lee Chong Wei sukar digugat untuk mengesahkan cabaran Malaysia dalam final menerusi kemenangan 21-18, 21-16 ke atas Rajiv Ouseph. 

"Kami hanya melihat kepada persembahan sendiri dan tidak menyangka pada hari ini dapat memenangi perlawanan 3-0. 

"Kami telah mempersiapkan diri dalam cara paling sukar untuk berdepan England. Jika boleh kami mahukan Singapura tetapi kini telah melepasi halangan separuh akhir. Ia juga menjadi persiapan terbaik untuk berdepan aksi final," kata Chong Wei.

Pemain lelaki nombor dua dunia, Kidambi Srikanth, dan pemenang emas Sukan Olimpik London, Saina Nehwal, pula mengetuai India untuk mengetepikan Singapura 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.  
 

Advertisement

Must Watch Video