GOLD COAST 2018
Badminton: Ayuh tebus kehampaan dalam acara individu, kata Chong Wei
Meskipun pedih, Datuk Lee Chong Wei akur Malaysia perlu segera bangkit daripada kegagalan mempertahankan pingat emas berpasukan campuran jika enggan berputih mata dalam saingan individu Sukan Komanwel Gold Coast.
Jika Malaysia berduka, Chong Wei lebih berasakan sentimen itu memandangkan dia tidak berupaya menyumbang mata sewaktu Malaysia tewas 1-3 di tangan India dalam final, semalam.
Malah, ini adalah kali pertama Malaysia gagal memenangi emas dalam acara ini sejak edisi 2006 di Melbourne, Australia.
Iklan
Bagi Chong Wei, Malaysia masih mempunyai peluang kedua untuk menyumbang emas buat kontinjen negara.
"Saya tahu bukan saya sahaja yang kecewa, jadi kami tidak boleh menyalahkan sesiapa. Semangat berpasukan harus dikembalikan, lupakan aksi hari ini (semalam) kerana masih ada peluang untuk kami lebih fokus dalam saingan individu.
"Dalam sukan, pasti ada menang atau kalah. Saya hanya mengharapkan aksi lebih baik dalam acara individu," kata Chong Wei di Pusat Sukan Carrara.
Perseorangan lelaki veteran itu juga membara dalam misi menukar perak berpasukan campuran menjadi emas dalam acara individu.
Mungkin juga ingin melunaskan dendam ke atas Srikanth Kidambi berikutan mereka dijangka berentap dalam final jika segalanya mengikut perancangan.
"Untuk individu, ia berbeza walaupun tekanan tetap ada. Saya harap kami dapat mencuba yang terbaik selepas ini," tambahnya yang akan memulakan saingan berdepan pemain Isle of Man, Benjamin Li, dalam pusingan 32, esok.
Must-Watch Video