Skip to main content

Sukan Lain

Azroy sahut cabaran pecah rekod berusia 16 tahun

azroy.jpg
Atlet angkat berat negara, Mohd Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, berharap mampu mengatasi rekod 16 tahun yang dipegang Amirul Hamizan Ibrahim.

Sekampung dengan Amirul di Rompin, Pahang, membuatkan Azroy menganggap adalah menjadi tanggungjawabnya untuk turun ke Sukan Komanwel dengan keazaman bukan sekadar menyumbang pingat emas, malah memecah rekod berkenaan.  

Amirul melakukan angkatan 115kg dalam acara snatch manakala clean & jerk, 145kg, dalam temasya Manchester 2002. 

Malah, Amirul sendiri memberi galakan kepada Azroy untuk melakar rekod baru. 

"Dia cakap, 'rekod itu sudah lama, bila lagi nak dipecahkan.

"Apabila dia bercakap begitu, ia menyuntik semangat saya," kata Azroy yang akan bertanding dalam kategori 56kg. 

10 tahun penantian untuk ke Sukan Komanwel menjadikan kemunculan pertamanya kali ini begitu istimewa. 

Ditambah pula dengan tarikh lahirnya pada 4 April, sehari sebelum aksinya di Gold Coast.

Justeru, Azroy memasang niat untuk menghadiahkan emas buat negara dan  ibu-bapanya sempena ulangtahun kelahirannya yang ke-24 nanti. 

"Setiap tahun, ibu-bapa saya akan bertanyakan hadiah yang saya hajati, tetapi kali ini saya mahu memberi kelainan dengan menghadiahkan pingat emas kepada ibu-bapa sempena hari jadi saya," katanya lagi. 


 

Advertisement

Must Watch Video