SUKAN LAIN
Azizulhasni, Fatehah Olahragawan, Olahragawati Terengganu
Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa, dijulang selaku Olahragawan dan Olahragawati negeri buat kali keempat dalam Majlis Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2017 di Kuala Terengganu, malam tadi.
Kejayaan bergelar juara dunia keirin dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong tahun lalu serta pemenang dua pingat emas Sukan SEA KL 2017 menyaksikan The Pocket Rocketman mempertahankan gelaran yang dimenanginya tahun lalu.
Fatehah, 29, pula cemerlang mengetepikan empat calon lain termasuk penyandang anugerah, Siti Rahmah Mohamed Nasir, selepas membantu kontinjen negara dengan empat pingat emas temasya KL2017 selain penyertaannya dalam Piala Dunia.
Iklan
Azizulhasni dan Fatehah yang diwakili ibu masing-masing membawa pulang piala pusingan dan iringan, blazer, sijil serta wang tunai RM7,000.

AST 2017 terus didominasi atlet berbasikal apabila Olahragawan Paralimpik diberikan kepada pemenang empat pingat emas dalam Sukan Para Asean 2017, Zuhairie Ahmad Tarmizi.
Nur Shahida Tajudin pula diumumkan sebagai Olahragawati Paralimpik susulan kejayaan satu pingat perak dan satu gangsa dalam temasya sama, menyaksikan kedua-duanya menerima piala iringan, sijil serta wang tunai RM3,000.
Atlet petanque, Syed Akmal Fikri Syed Ali, juga mencuri tumpuan dengan menggondol Anugerah Olahragawan Harapan dengan pencapaian terbaik pingat gangsa Kejohanan Beregu Campuran Dunia di Belgium selain pingat emas temasya KL2017.
Olahragawati Harapan pula menjadi milik Nur Iman Ahmad Sabti, juga dari sukan petanque, yang memenangi pingat perak dalam Piala Dunia Wanita dan Sukan SEA 2017.
Masing-masing menerima piala pusingan dan iringan, sijil serta wang tunai RM2,500.
Must-Watch Video