SUKAN LAIN
Azizulhasni akan capai kemuncak prestasi dalam Sukan Olimpik, kata Josiah
Bekas pelumba negara, Josiah Ng, menganggap prestasi yang ditonjolkan Azizulhasni Awang dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Poland tidak merentap keyakinannya untuk menjadikan pelumba itu sebagai sandaran utama meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Jaguh berbasikal trek negara itu menamatkan saingan acara keirin di tempat ketujuh selepas
mengalami kemalangan dalam pusingan pertama yang menjejaskan rentak kayuhannya.
Semangat juang yang ditampilkan Azizulhasni walaupun berdepan kecederaan membuktikan tiada apa
yang mustahil untuknya terus menggalas harapan sebagai sandaran negara untuk membutirkan emas
sulung di Tokyo kelak.
Iklan
"Dalam kalangan 28 pelumba yang bertanding, 20 daripada mereka berkemampuan untuk memenangi medal.
"Kalau perlumbaan itu diadakan sekali lagi, keputusannya mungkin berbeza.
"Azizul berhati waja dan kedudukan ketujuh dalam Kejohanan Dunia bukanlah begitu teruk dan ia menyumbang mata buatnya.
"Dia tidak semestinya memenangi perlumbaan di Poland.
"Dia perlu lebih tenang tahun ini dan akan mencapai kemuncak prestasi dalam Sukan Olimpik Tokyo," kata Josiah.
Josiah sedang menabur bakti bersama skuad berbasikal trek Sarawak dalam mencapai misi meraih
pingat emas pertama berbasikal trek negeri itu dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020.
Selain itu, Josiah turut menetapkan misi untuk melihat Sarawak mengisi kedudukan lima terbaik
Sukma 2020 menerusi enam acara, antaranya BMX, berbasikal trek dan lebuh raya.
"Matlamat yang saya tetapkan bersama Sarawak dalam kempen Sukma 2020 ialah memenangi pingat emas pertama dalam berbasikal.
"Sebelum ini, Sarawak menggunakan khidmat jurulatih asing yang menyasarkan tujuh emas, sebaliknya mereka tidak memenangi sebarang emas dalam dua edisi Sukma.
"Justeru, saya mahukan satu emas dan tiga lagi medal tanpa mengira apa pun kilauannya dalam dua temasya penganjuran Sukma," katanya lagi.
Must-Watch Video