Skip to main content

Sukan Lain

Azim: Proses pemilihan harus diperketatkan

azim_1.jpg
Chef-De-Mission (CDM) Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, mahu memastikan pemilihan atlet yang lebih telus dan tahap kelayakan yang lebih tinggi ditetapkan selepas ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakpuasan hati sesetengah pihak, sekali gus mempersoalkan keputusan yang dibuat.

Tidak kira kategori A atau kategori B, setiap atlet yang dipilih untuk beraksi dalam sesuatu temasya perlu membuktikan kemampuan sebaik mungkin bagi mengelak timbul persoalan mengenai kelayakan mereka kemudian.

Banyak pihak yang terkesan dengan insiden yang berlaku terhadap atlet papan selaju, Fatin Syahirah Roszizi, di mana Abdul Azim enggan situasi sedemikian terus berlaku sehingga boleh memberi kesan buruk kepada atlet itu.

Justeru, had kelayakan yang lebih tinggi akan dinilai untuk memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja beraksi dan bukan sekadar memenuhi kuota.

"Kami akan memperketatkan lagi proses pemilihan. Kali ini, kami hanya memberi peluang kerana kos untuk menyertai Sukan Asia agak rendah jika dibandingkan dengan saingan di tempat lain.

"Namun, kami melihat peluang yang telah diberikan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ini tidak digunakan sebaik-baiknya," katanya.

Abdul Azim, yang tiba bersama-sama skuad negara dari Indonesia semalam, mengharapkan semua atlet, khususnya yang julung kali beraksi, dapat menjadikan pengalaman di pentas Sukan Asia sebagai satu permulaan untuk terus meningkat di peringkat antarabangsa.

"Kami melepasi sasaran berbanding saingan di Incheon, termasuk kutipan pingat keseluruhan. Kami menamatkan aksi dengan 36 kilauan pingat.

"Kami memecahkan enam rekod kebangsaan dan dalam masa sama, terdapat dua atlet daripada pelayaran yang melayakkan diri ke Olimpik 2020."

Advertisement

Must Watch Video