Skip to main content

Sukan Lain

Azeem pasang impian berlari dengan Khairul Hafiz

azeem-fahmi.jpg
"Saya akan berlari seiring dengan Khairul Hafiz Jantan suatu hari nanti," kata Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang memenangi emas acara 100m dan 200m dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Stadium Panasonic, Shah Alam hari ini.

Azeem menarik perhatian ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, yang melabelkan atlet dari Perak itu sebagai pelapis acara pecut untuk tempoh dua hingga ke tiga tahun akan datang.

Tiada siapa menyangka Azeem melewati tempoh sukar untuk bangkit menyerlah sejak empat penyertaannya dalam Kejohanan MSSM.

Tempoh empat tahun itu berbaloi buat Azeem apabila dia berjaya mengumpul dua emas dalam acara 100m dan 200m selain acara 4x100 dengan pingat gangsa.

Lebih manis, tumpuan daripada Zainal juga menambahkan keyakinan Azeem untuk seiring dengan Khairul Hafiz suatu hari nanti.

"Masih jauh perjalanan untuk saya bersaing dengan Khairul Hafiz tetapi saya akan terus berusaha dan mendapatkannya. Ia salah satu cita-cita saya," katanya.

Baru berusia 15 tahun,  Azeem cemerlang dalam acara 100m menerusi catatan 10.78s selain emas terbarunya, acara 200m dengan catatan 21.70s.

"Semua ini datang tanpa dijangka. Saya menyasarkan untuk melakukan yang terbaik pada tahun ini dan layak ke final, hasilnya mencipta dua rekod," tambahnya.

Bakal membuat penampilan kali pertamanya dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak, Azeem mengharapkan tuahnya mampu membantu dalam acara terakhir, iaitu 4x400m, esok.

Advertisement

Must Watch Video