ARRC
ARRC: Zaqhwan tidak beraksi di Australia
Tiada kelibat pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi, dalam saingan SuperSports 600cc, Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Bend Motorsport Park, Australia apabila pelumba itu memutuskan untuk memberi tumpuan kepada Kejuaraan Seluruh Jepun di Litar Suzuka yang berlangsung serentak, bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu yang juga juara keseluruhan 2014 dan 2016, akan beraksi dalam kategori JSB1000, di mana dia menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-19 dan Perlumbaan 2 di tempat ke-14 dalam aksi pertamanya bersama jentera 1,000cc di Litar Twin Ring Motegi, dari 7 hingga 8 April lalu.
“Pengurusan pasukan membuat keputusan supaya saya beraksi di Jepun, jadi saya mengikut sahaja apa yang telah ditetapkan,” kata Zaqhwan yang kini berada di kedudukan ke-10 SuperSports 600cc ARRC dengan 14 mata.
Iklan
“Keutamaan kami memang kepada aksi jentera 1,000cc sebagai persediaan untuk musim depan, namun ia tidak bermaksud kami mengetepikan cabaran ARRC. Walaupun hilang 50 mata di Australia minggu ini, ada baki lagi empat pusingan dan lapan perlumbaan lagi untuk musim ini.
“Apa yang saya harapkan ialah dua rakan sepasukan, Tomoyoshi Koyama dan Azroy Hakeem Anuar, dapat meraih keputusan terbaik bagi mengekalkan persaingan untuk merampas kembali gelaran keseluruhan berpasukan yang terlepas pada musim lalu selepas memenanginya sejak 2012 lagi,” katanya.
Menyentuh tentang perlumbaan di Jepun, Zaqhwan berkata: “Perlumbaan pertama saya dengan jentera 1,000cc bukanlah mudah, tambahan pula berdepan dengan ramai pelumba handalan Jepun yang berpengalaman di peringkat antarabangsa.
"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan pencapaian yang diraih dan akan bekerja keras untuk mencatat keputusan lebih baik.”
Must-Watch Video