Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, mendedahkan bahawa jenteranya mengalami masalah brek sebelum dia bergelar juara perlumbaan pertama Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Zhuhai zebentar tadi.

Hafizh Syahrin memberikan kemenangan pertama buat JDT Racing Team di pentas ARRC selepas menamatkan perlumbaan kali ini selaku pelumba terpantas dengan catatan masa 1:33.731s di depan pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar (Honda Asia Dream Racing) dan seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman (TKKR Racing Team).

Menurut pelumba kelahiran Ampang itu, perlumbaan kali ini jelas mencabar untuk dilalui tetapi ketenangannya banyak membantu untuk menamatkan penantian kejuaraan buat pasukannya.

"Bagi kami, ia bukan mudah untuk menangani perlumbaan kali ini kerana dalam tiga pusingan terakhir, saya berdepan kesukaran untuk menghentikan jentera saya," katanya selepas perlumbaan itu.

"Saya rasa anda dapat lihat di kaca tv bertapa jentera saya banyak bergerak ketika saya brek dan ia seperti saya sedang menunggang kuda.

"Kita akan lihat perlumbaan esok, kami akan mencuba untuk memperbaiki lagi dalam sesi pemanas badan kerana jika kami mendapat kestabilan yang lebih baik, kami boleh melakukan yang lebih baik dalam perlumbaan ini," katanya.