ARRC
ARRC: Azlan ada kelebihan tanpa cabaran West
Pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman, mempunyai kelebihan apabila beberapa pelumba handalan termasuk pendahulu keseluruhan SuperSports 600cc, Anthony West, tidak beraksi dalam pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di The Bend Motorsport Park, Australia, bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu ketika ini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 32 mata, 13 mata di belakang West, namun pelumba Australia itu tidak beraksi di halaman sendiri minggu ini kerana terlibat dengan Kejuaraan SuperSports Dunia.
Pelumba di kedudukan ketiga, Thitipong Warokorn, pula hanya beraksi atas tiket wildcard sewaktu perlumbaan pusingan pertama di Thailand manakala juara keseluruhan 2016, Mohd Zaqhwan Zaidi, juga tidak beraksi di Australia bagi memberi tumpuan kepada perlumbaan Kejuaraan Seluruh Jepun, minggu ini.
Iklan
“Di atas kertas, memang saya nampak mempunyai kelebihan tetapi minggu ini baru masuk pusingan kedua dan masih ada baki banyak perlumbaan lagi. Jadi, saya tidak melihat ia sebagai satu kelebihan, sebaliknya lebih menumpukan kepada prestasi sendiri.
“Cuma yang penting saya perlu menggunakan peluang ini untuk mengumpul mata maksimum sebagai bekalan penting untuk pusingan-pusingan akan datang. Meskipun mereka tiada, namun cabaran hebat pasti datang daripada pelumba Thailand dan juga rakan sepasukan saya sendiri serta pelumba wildcard tuan rumah,” kata juara bertahan SuperSports 600cc itu.
Mengulas tentang cabaran di litar baru yang kali pertama berada dalam kalendar ARRC, Azlan berkata: “Saya difahamkan litar itu baru siap manakala cuaca juga mungkin agak sejuk. Kami perlu mengumpul data dan mendapatkan pelarasan terbaik secepat mungkin. Sesi pada hari pertama sangat penting buat pasukan.
“Laluan lurus yang panjang dan litar ‘high speed’ mungkin memberi sedikit kelebihan kepada jentera Kawasaki. Saya berharap semuanya akan berjalan lancar nanti," tambahnya.
Must-Watch Video