Skip to main content

Sukan Lain

Anugerah Sukan Negara 2016 jadi pemangkin perjuangan atlet

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

latif-romly-260417_1.jpg
Atlet dan jurulatih Paralimpik negara terus mendapat pengiktirafan yang wajar diberikan kepada mereka hasil kejayaan Abdul Latif Romly serta R. Jeganathan dalam majlis Anugerah Sukan Negara 2016. 

Tahun 2016 menyaksikan pencapaian paling gemilang kontinjen negara dalam dua temasya utama, iaitu Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio. 

Kontinjen Olimpik negara memungut kutipan pingat terbaik dalam sejarah penyertaan dengan empat perak serta satu gangsa. 

Trio emas dalam temasya Paralimpik Rio pula menyusul dengan atlet lompat jauh, Latif, menamatkan penantian buruan emas di peringkat tertinggi dunia itu. 

Malah, kejayaan Latif memecahkan rekod dunia sebanyak tiga kali juga merupakan satu pencapaian yang sukar ditandingi mana-mana atlet lain. 

Lantaran itu, ia satu pengiktirafan yang layak diterima Latif apabila buat kali pertama atlet Paralimpik memenangi anugerah Olahragawan Kebangsaan 2016. 

"Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, telah mengangkat atlet kelainan upaya sama taraf dengan atlet normal. 

"Ia memberi semangat kepada saya dan atlet Paralimpik yang lain untuk terus maju dalam kejohanan yang akan datang," ujar atlet kelahiran Perlis itu. 

Kejayaan Latif juga menjadi bukti skuad olahraga Paralimpik negara yang diketuai Jeganathan mampu melahirkan jagoan dunia. 

Ridzuan Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli melengkapkan kenangan manis kontinjen Paralimpik negara di Rio hasil kerjasama erat di antara Jeganathan serta dua lagi jurulatih, Syahrul Amri Suhaimi serta Faizal Harun. 

Maka, wajarlah buat Jeganathan diberi penghargaan selaku Jurulatih Terbaik Kebangsaan 2016. 

"Ini bukan usaha saya seorang sahaja. 

"Ia adalah hasil kerjasama berpasukan," kata Jeganathan. 

Jika barisan Paralimpik negara cemerlang pada tahun lalu, Siti Rahmah Mohamad Nasir pula memastikan legasi sukan silat diteruskan apabila dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan 2016. 

Buat kali pertama, pesilat wanita meraih anugerah sedemikian dan ini menjadi pembakar semangat buat Siti Rahmah untuk terus konsisten sepanjang tahun ini. 

"Kejayaan ini membuatkan saya lebih fokus dan bersemangat untuk mencapai sasaran dalam silat. 

"Kami telah kembali berlatih seperti biasa sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Terbuka Belgium pada 30 April ini.

"Selepas itu, kami akan fokus sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Sukan SEA," katanya.

Advertisement

Must Watch Video