GOLD COAST 2018
Angkat berat: Fazrul hadiahkan pingat gangsa dengan rekod kebangsaan
Mohamad Fazrul Azrie Mohdad menghadirkan ceria buat kontinjen negara apabila meraih pingat gangsa angkat berat kategori 85 kilogram Sukan Komanwel Gold Coast, sebentar tadi.
Fazrul merakamkan angkatan 145kg dalam snatch dan 183kg dalam clean & jerk untuk jumlah angkatan 328kg.
Catatan itu memadamkan rekod kebangsaannya dalam clean & jerk, 182kg, yang dilakukan dalam Sukan SEA 2017, termasuk memperbaharui jumlah angkatan keseluruhan, 323kg.
Iklan
"Alhamdulillah, saya bersyukur hari ini menjadi rezeki saya. Ia menjadi hadiah buat ibu saya sempena ulang tahun kelahirannya dan adik yang bakal lahir tidak lama lagi.
"Terima kasih juga kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang memberi peluang buat saya," kata atlet dari Pahang itu.
Di sebalik kejayaan itu, Fazrul menanggung derita akibat kecederaan tangan dan dia menjelaskan: "Ya, ia sedikit mengganggu persembahan, saya terpaksa lakukan juga dan membuang rasa sakit itu.
"Sebenarnya, hari ini berlaku keajaiban kerana saya turut berdepan masalah kecederaan pada bahagian belakang, Allah membantu saya dan memberi keyakinan."
Atlet India, Venkat Rahul Ragala, merangkul emas dengan jumlah beban 338kg sambil Don Opeloge (Samoa) meraih perak dengan angkatan keseluruhan 331kg.
Must-Watch Video