Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Angkat berat digantung sementara daripada Sukma

sukan-sea-2017-dua-pingat-emas-masih-lagi-sasaran-skuad-angkat-berat_1.png
Usaha keras Persekutuan Angkat Berat Mmalaysia (PABM) menangani kes doping sejak tahun lalu belum berhasil apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, mengumumkan acara itu digantung sementara daripada dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020.

Tindakan PABM menggantung penyertaan skuad negara selama setahun untuk kejohanan antarabangsa masih tidak memadai.

Penggantungan itu akan tamat Mei depan, sekali gus membuka peluang buat atlet negara untuk fokus memburu mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mesyuarat tertinggi Sukma memutuskan 30 jenis sukan akan dipertandingkan, dengan status angkat berat masih tergantung ekoran tiga kes doping dalam temasya sebelum ini.

Johor akan jadi tuan rumah Sukma buat kali kedua selepas 1992 dan empat daerah dipilih sebagai venue temasya, iaitu Muar, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

"Sekarang, kami tangguhkan dulu kerana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) dan kerajaan negeri mahu mendapatkan maklumat tambahan daripada PABM sebelum memikirkan cara untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang," ujar Syed Saddiq.

"Insya-Allah pada September depan, beberapa venue seperti Stadium Olahraga, Stadium Akuatik serta Arena Larkin akan siap. Selebihnya akan selesai pada awal tahun depan," kata Pengerusi Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

PABM menganggap keputusan itu tidak adil kerana peratusan kes positif doping angkat berat Sukma Perak 2018 cuma 1.7 peratus.

Malah, badan induk itu sedang bekerja keras membersihkan skandal di peringkat akar umbi dengan menjalankan program pendidikan anti-doping.

"Adakah dengan jumlah kecil itu, atlet-atlet yang berpotensi dari negeri lain dinafikan peluang?," soal Presiden PABM, Datuk Ayob Rahmat.

"Kalau ditolak, ia satu tindakan tidak adil buat angkat berat. Saya dan PABM mendesak serta merayu agar sukan angkat berat dipertimbangkan serta dimasukkan semula dalam Sukma."

 

Advertisement

Must Watch Video