Skip to main content

Sukan Lain

Analisis Belanjawan Sukan 2026

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

dr-hadafi-on-bajet-2026.jpg
Belanjawan Sukan 2026 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan antara peruntukan terbesar dalam sejarah pembangunan sukan negara. Dengan jumlah melebihi RM580 juta, ia menandakan peningkatan hampir 80 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kenaikan ini bukan sekadar angka, tetapi menggambarkan tekad kerajaan untuk menjadikan sukan sebagai instrumen utama agenda pembangunan nasional iaitu meliputi aspek ekonomi, sosial, pendidikan, dan perpaduan rakyat Malaysia.

Bajet Sukan 2026 memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pembangunan atlet elit, pengukuhan sukan komuniti, dan peningkatan infrastruktur sukan serta pendidikan. Program seperti Road to Gold (RTG) diteruskan bagi melahirkan atlet bertaraf dunia yang mampu mengharumkan nama negara di Olimpik dan Sukan Asia. Pada masa yang sama, bajet turut memperkasakan sukan rakyat melalui geran khas kepada NGO dan komuniti tempatan, serta menaik taraf padang dan kemudahan sukan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dari sudut ekonomi, pelaburan besar dalam sektor sukan memberi kesan berganda atau multiplier effect kepada pertumbuhan domestik. Pembinaan kompleks sukan, penganjuran kejohanan, dan aktiviti pelancongan sukan mampu menjana pekerjaan serta merancakkan ekonomi setempat. Selain itu, sektor sukan menyokong industri lain seperti pelancongan, perhotelan, pemakanan, pembuatan peralatan sukan dan teknologi sukan (SportsTech). Justeru itu, Bajet 2026 bukan sahaja membangunkan atlet, tetapi turut membina negara dengan menjadi pemangkin kepada ekonomi negara berasaskan gaya hidup sihat dan aktif.

Bajet ini juga dilihat sebagai strategi menangani krisis sosial yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar dan remaja. Melalui program sukan sekolah dan aktiviti belia, kerajaan berhasrat memupuk nilai disiplin, tanggungjawab dan kerja berpasukan dalam diri generasi muda. Sukan berperanan sebagai terapi sosial yang mampu mengawal tekanan emosi dan mengurangkan tingkah laku agresif seperti buli, pergaduhan dan salah laku moral. Kajian menunjukkan pelajar yang aktif bersukan lebih seimbang dari segi mental, emosi dan sosial berbanding mereka yang pasif.

Malaysia telah lama menanti detik bersejarah, iaitu meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik. Melalui Bajet Sukan 2026, harapan ini kembali menyala dengan pengukuhan Road to Gold dan kerjasama antara Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Universiti Tempatan serta pusat penyelidikan seperti Sports Innovation and Technology Centre UTM yang juga di iktiraf sebagai pusat satelit teknologi sukan Negara. 

Pendekatan berasaskan sains sukan, psikologi sukan, prestasi sukan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam latihan atlet di yakini mampu meningkatkan prestasi ke tahap tertinggi. Pembangunan atlet para dan pekak turut diberi perhatian bagi memastikan Malaysia terus unggul di pentas dunia dengan semangat inklusif.

Peruntukan Bajet Sukan 2026 turut menumpukan kepada pembangunan infrastruktur sukan moden yang lebih meluas dan berkualiti. Ini termasuk menaik taraf kompleks sukan negeri, kemudahan belia serta padang sekolah di kawasan luar bandar. Akses kepada fasiliti sukan yang baik membolehkan rakyat daripada semua lapisan masyarakat terlibat dalam aktiviti yang sihat sekaligus mengatasi isu gejala sosial. Selain melahirkan bakat baharu, ia juga membentuk budaya gaya hidup aktif dan produktif dalam kalangan rakyat, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Belanjawan sukan kali ini juga membawa mesej perpaduan yang mendalam. Melalui program Sukan Rakyat MADANI dan sokongan kepada NGO sukan komuniti, kerajaan berhasrat menjadikan sukan sebagai jambatan sosial antara kaum, agama dan generasi. Di padang, tidak ada perbezaan bangsa atau status pangkat dan jawatan, yang ada hanyalah semangat pasukan dan cinta kepada negara. Maka, sukan menjadi bahasa sejagat yang memupuk perpaduan nasional dan menzahirkan semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Secara keseluruhannya, Belanjawan Sukan 2026 merupakan pelan strategik yang menyeluruh dan berpandangan jauh. Ia bukan sahaja memperkukuh ekosistem sukan negara, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan rakyat, kestabilan sosial, serta kemajuan ekonomi Negara Malaysia. Jika dilaksanakan dengan tatakelola yang baik, bajet ini berpotensi menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai tuan rumah cemerlang Sukan SEA 2027, tetapi juga sebagai kuasa sukan serantau dan akhirnya meraih kejayaan bersejarah di pentas Olimpik Dunia.

Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Penganalisis Sukan
Garmin

Lebih Dari Sekadar Jam

Jam Garmin ini bantu anda jejak setiap langkah, degupan & pencapaian dengan tepat.


Dapatkan Sekarang

Advertisement

Must Watch Video