Pakar pukulan sudut penalti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Aleem Bilal dan Najmi Farizal Jazlan, berdepan tugas penting untuk merobek pintu gol Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) esok, sekali gus memastikan The Young Guns kekal di takhta Liga Hoki Malaysia (MHL).
Gandingan Aleem dan Najmi berjaya menyumbang tiga gol ketika UniKL menewaskan UiTM-KPT 6-2 untuk meraih kemenangan keempat berturut-turut musim ini.
Lebih menarik, mereka telah menjaringkan tiga daripada empat pukulan sudut penalti, sekali gus peluang menyempurnakan gerakan maut itu setinggi 75 peratus.
Ia akan menjadi senjata utama UniKL mengejutkan KLHC dalam perlawanan tumpuan utama esok.
"Pukulan sudut penalti UniKL merupakan senjata utama pasukan dan kami akan cuba mengekalkan momentum ini ketika berdepan KLHC," kata Aleem.
"Saya gagal menjaringkan gol sejak Piala Dunia Remaja lagi, saya berharap dapat meneruskan menjaringkan gol dalam perlawanan akan datang," kata Najmi.
Selain KLHC, UniKL juga akan berdepan juara bertahan, Terengganu Hockey Team dan Maybank untuk menamatkan pusingan pertama liga.
Ia akan menentukan peluang mencapai sasaran untuk menamatkan cabaran dalam kelompok empat pasukan terbaik.
"Saya sangat gembira apabila kami memiliki dua pemain yang mampu menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti, ia akan memberikan kelebihan kami ketika berdepan KLHC pada Ahad," kata pengendali UniKL, Arul Selvaraj.