Skip to main content

Sukan Lain

Aksi di Indonesia ajar Irfan lebih tenang

irfan_2.jpg
Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, mengakui prestasi menurun yang dilalui tahun ini telah mengajarnya untuk lebih bijak mengawal diri bagi menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang.

Dia merupakan pemenang tiga pingat emas Sukan SEA dalam acara lempar cakera dengan yang terbaru dalam edisi di Kuala Lumpur tahun lalu.

Namun, atlet berusia 23 tahun itu gagal meneruskan kesinambungan itu sewaktu melakukan penampilan dalam Sukan Komanwel Gold Coast serta Sukan Asia Indonesia, tahun ini.

"Tahun ini boleh dikatakan sebagai tempoh yang agak suram buat saya," kata Irfan ketika ditemubual Nadi@1, hari ini.

"Saya terlalu menginginkan kejayaan dan apa yang berlaku telah mengajar saya untuk lebih fokus kepada perkara yang lebih penting.

"Saya tidak sepatutnya terlalu memikirkan kemenangan, sebaliknya meletakkan fokus kepada apa yang perlu dilakukan ketika berada dalam mana-mana kejohanan. Ia mengundang tekanan kepada diri sendiri.

"Sebelum ini, saya tidak begitu memikirkan tentang kutipan pingat tetapi segalanya berubah tahun ini, terutama apabila menuju ke Gold Coast."

Dalam masa sama, dia juga tidak menafikan kegagalan dalam Sukan Asia 18 Ogos- 2 September lalu jelas menjadi perkara yang lebih mengecewakan berbanding aksi di Gold Coast, April lalu.

"Ia memberi peringatan baik dan buruk. Apa yang tidak menyeronokkan bagi saya, saya gagal menyaingi pencabar sama yang ditewaskan ketika Kejohanan Olahraga Asia 2017. Ia juga bukan rezeki saya.

"Lawan memiliki kelebihan apabila mereka lebih tenang apabila beraksi," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video