Tempoh lima tahun sudah cukup buat 23 Ahli Gabungan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) membuat penilaian sama ada kepimpinan diterajui Presiden, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, wajar diberi peluang seterusnya atau sebaliknya.
Presiden Persatuan Olahraga Para Malaysia, Mohd Zarrawi Ravi Abdullah, menegaskan ada perkara penting sepanjang 2024 yang perlu diberikan penilaian serius menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM, 14 Disember depan.
Isu klasifikasi yang berlaku dalam Para Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 jelas menunjukkan kegagalan kepimpinan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dalam menangani kelompongan ciptaan sendiri.
Isu tujuh peserta yang dikatakan ‘non eligable’ beraksi dalam temasya itu dianggap bertentangan dengan objektif penganjurannya.
"Tetapi oleh kerana ada keputusan oleh pengerusi jawatankuasa yang diterajui MPM, jadi kami benarkan mereka bertanding.
"Impaknya, tujuh pemenang Sukma ini belum tentu akan mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa sebab mereka akan 'ME' (tidak layak). Itu satu kesan dan ini yang kami kena hati-hati.
"Mereka boleh tuntut bahawa mereka menang emas Para Sukma, mengapa tidak boleh mewakili Malaysia. Jadi ini isu yang akan timbul," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Zarrawi turut senada dengan bekas ketua jurulatih olahraga, R. Jeganathan, yang menyifatkan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Shapawi Ahmad, sebagai individu yang paling tepat untuk menerajui pucuk pimpinan MPM selepas ini.
"Mentadbir satu organisasi yang besar memerlukan banyak kemahiran (tentang) bagaimana proses membuat keputusan dan macam mana menangani pemegang taruh juga penting.
"Kami mengalu-alukan Shapawi sebagai presiden MPM," katanya.
Shaiful Shamsudin
Thu Nov 28 2024