E-SUKAN
Adik beradik wakili Malaysia dalam eRacing GP
Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) mengumumkan pasangan adik beradik, Naquib Azlan dan Nabil Azlan, akan mewakili negara bagi acara GP eRacing yang akan dipertandingkan buat julung kalinya pada Kejohanan E-Sukan SEA (SEA EC), Ahad ini.
Naquib dan Nabil yang mendominasi pusingan kelayakan kebangsaan kelmarin menafikan peluang Ayman Aqeem yang meraih tempat ketiga.
Naquib merupakan juara dua kali kategori emas bagi GP eRacing sementara Nabil, yang sentiasa mengekori rapat abangnya itu, pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan Toyota Gazoo Racing Velocity Esports tahun lalu.
Iklan
“Saya sangat berbangga dan berbesar hati dapat mewakili Malaysia bersama-sama adik saya, Nabil. Ini merupakan peluang terbaik untuk kami mempamerkan aksi yang terbaik serta mencabar pelumba serantau,” kata Naquib.
Dua pelumba terbaik dari tujuh negara akan berentap dalam pusingan akhir dan antara negara yang mengambil bahagian ialah Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura, Vietnam dan Filipina.
Bagi pengasas GP eRacing. Alex Yoong pula, “Saya amat teruja. Ini adalah kali pertama eRacing dipertandingkan dalam SEA EC dan ia adalah satu pengiktirafan buat warga sukan permotoran. Saingan sudah pasti akan lebih menarik memandangkan semua negara menghantar pelumba terbaik mereka.”
Antara yang perlu diberikan perhatian adalah pelumba berusia 17 tahun dari Filipina, Inigo Anton. yang pernah meraih beberapa kejuaraan sepanjang 2021 selain pelumba muda dari Singapura, Dillan Tan.
Dillan yang baru berusia 13 tahun sentiasa meraih kedudukan podium.
Mereka akan menggunakan jentera Z-Challenger Audi RS3 dengan warna negara masing-masing dalam tiga pusingan perlumbaan.
Pemenang akan menerima hadiah wang tunai berjumlah $10,000 (RM41.910) dan aksi pusingan akhir akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro eGG Network jam 11:45 pagi pada Ahad ini.
Kejuaraan SEA EC yang dilangsungkan di Vietnam pada 2 hingga 16 Januari depan menghimpunkan 52 buah pasukan daripada 10 persekutuan e-sukan seluruh Asia Tenggara yang akan bertanding untuk merebut wang tunai berjumlah $140,00 (RM586.780).
Must-Watch Video