Skip to main content

Sukan Lain

ADAMAS kesal empat pemenang pingat Sukma positif ujian doping

270916nishelkumar.jpg
Ketua Unit Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar, kesal dengan kes doping melibatkan empat atlet Sukma Sarawak 2016, khususnya dua atlet memanah yang tidak sepatutnya terjadi, apatah lagi bahan terlarang yang diambil tidak mempengaruhi prestasi mereka.

Antara empat atlet berkenaan, paling dikesali Nishel adalah dua atlet memanah di mana bahan terlarang jenis sibutramine itu sememangnya tidak akan mempengaruhi dan merangsang prestasi mereka.

Justeru, adalah amat merugikan insiden itu terjadi dan sepatutnya dikawal terlebih awal kerana sibutramine yang sering terkandung dalam pil pelangsing itu tidak dijual di Malaysia dan berkemungkinan mereka mendapatkan ubat berkenaan secara dalam talian.

“Ia merupakan pil pelangsing, perkara ini telah berlaku kepada atlet wushu di Sukan Asia.

"Sudah banyak kesedaran yang kami berikan kepada atlet, sepatutnya atlet mengetahui bahan terlarang terkandung di dalam pil itu,” kata Nishel.

Untuk tindakan, pihak ADAMAS telah pun menghantar laporan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan tiga persatuan yang terlibat perlu memberi maklum balas selewat-lewatnya 15 Oktober ini.

“MSN akan memaklumkan kepada persatuan yang terlibat. Kami memberikan tarikh akhir sehingga 15 Oktober kepada mereka untuk memberikan maklum balas sama ada mencabar atau menerima keputusan ini.”

Semalam, MSN mendedahkan empat pemenang pingat Sukma Sarawak didapati positif menggunakan bahan terlarang.

Selain dua atlet daripada sukan memanah, seorang peninju dikenal pasti menggunakan bahan diuretics manakala steroid dikesan dalam sampel A seorang atlet angkat berat. 

Advertisement

Must Watch Video