Skip to main content

Permotoran

Adam intai pencapaian lebih baik tahun ini

adam15218.jpg
Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin, mahu menjadikan pengalaman tahun lalu sebagai pengajaran berguna untuknya tampil lebih menyerlah bersama pasukan Petronas Sprinta Racing bagi menghadapi cabaran musim 2018.

Adam berkata dia meletakkan harapan tinggi dalam penampilan tahun ketiganya ini selepas mendapat sokongan besar daripada Petronas dan SIC Racing Team.

"Ini adalah tahun ketiga saya. Saya mempunyai harapan tinggi kerana mempunyai sokongan besar daripada Petronas dan SIC Racing Team. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana banyak menyokong kerjaya saya. 

"Saya sangat gembira pada tahun ini. Saya sangat menghargai usaha mereka dan saya tidak sabar untuk meneruskan saingan tahun ini," katanya.

Mengulas mengenai sesi latihan selama empat hari di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Adam berkata: "Saya mempunyai kenangan baik di Sepang pada tahun lalu dan saya amat yakin dengan ujian kali ini.

"Ia adalah peluang yang baik kepada kami kerana ujian ini hanya untuk kami. Saya boleh fokus 100 peratus kepada prestasi. Musim ini sangat sengit tetapi kami akan terus berjuang untuk mencapai sasaran kami."

Ujian persendirian pasukan di Litar SIC bermula hari ini bakal digunakan sepenuhnya pelumba Petronas Sprinta Racing itu untuk mencari keserasian dengan jentera Honda baharunya.

Selain Adam, turut menjalani ujian persendirian itu adalah pelumba SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin, yang mengisi tempat dikosongkan Hafizh Syahrin Abdullah susulan bakal beraksi dalam kelas perdana, MotoGP.

Adam menamatkan saingan dengan 42 mata untuk berada di tangga ke-17 keseluruhan pada musim lalu.

Advertisement

Must Watch Video