Skip to main content

Sukan Lain

ACC: Sallehudin puas hati prestasi skuad para

sallehudin19218.jpg
Jurulatih berbasikal trek para negara, Sallehudin Mohd Noh, percaya terhadap kemampuan gandingan Muhammad Afiq Afify Riza dan Khairul Adha Rasol untuk mengekalkan kedudukan pingat bagi Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia UCI di Rio de Janeiro, Brazil, bulan depan.

Keyakinan Sallehudin itu berdasarkan masa, 10.020s, yang dilakukan pasangan itu dalam acara tandem 200 meter pecut Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai, semalam.

Ia bukan sahaja menjadi catatan terbaik pernah dilakukan gandingan itu, malah mengatasi masa yang dilakukan juara dunia tahun lalu, James Ball dan Matthew Rotherham dari Great Britain (10.047s) dalam Kejohanan Dunia di Los Angeles, Amerika Syarikat, tahun lalu.

"Ia bagus mencatat 10.020s yang mana ia hampir dengan pesaing terdekat daripada pasukan Britain, iaitu 10.074s, yang dibuat di Manchester.

"Dalam Kejohanan Dunia, saya harap dia dapat mengekalkan prestasi untuk mendapatkan catatan masa lebih baik dan mendekatkan lagi catatan dengan pasukan Britain," katanya.

Dalam pada itu, Sallehudin berpuas hati dengan pencapaian yang diraih skuad negara selepas tiga hari kejohanan itu berlangsung.

Setakat ini, skuad para negara sudah meraih empat emas, dua daripadanya menerusi gandingan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama jurumudi, Noraidillina Adila J Sam.

Pencapaian itu sudah mengatasi pencapaian tiga emas yang diperolehi dalam edisi di Jepun, dua tahun lalu.

"Dalam edisi di Jepun, kami memperoleh tiga emas. Untuk kali ini, acara masih berjalan dan kami harap dapat mengatasi pencapaian di Jepun," kata jurulatih itu lagi. 

Advertisement

Must Watch Video