GOLD COAST 2018
100m: Khairul Hafiz kandas, Zaidatul ke separuh akhir
Khairul Hafiz Jantan gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam saringan kesembilan acara 100m pecut lelaki, Sukan Komanwel di Trek Stadium Carrara, sebentar tadi.
Atlet bergelar 'The Speedy Jantan' itu melakukan 10.50s -- jauh di luar catatannya, 10.38s, dalam Sukan SEA lalu yang menyaksikan dia muncul pelari terpantas Asia Tenggara -- dalam saringan yang dimenangi peserta tuan rumah, Trae Williams, dengan masa 10.28 saat.
Catatan peribadi terbaik Khairul Hafiz adalah 10.18s yang dilakukannya dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak pada 2016.
Iklan
"Mungkin gangguan false start pada awalnya. Ia membuatkan saya hilang fokus sedikit. Saya mohon maaf, saya sudah melakukan yang terbaik tetapi tidak diizinkan," kata atlet kelahiran Melaka itu.
Tadahulu, seorang lagi atlet negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, berjaya menempatkan diri dalam kelompok 16 peserta terbaik selepas mencatat 11.64s untuk menduduki tempat ketiga dalam saringan kelima kategori 100m wanita.
"Saya sangat bersyukur sebab tanpa jurulatih (M. Balamurugan), saya boleh buat.
"Saya sangat gembira. Jurulatih, ini semua untuk kamu," kata Zaidatul sambil tidak dapat menahan air mata kegembiraan.
Must-Watch Video