BADMINTON
Terbuka Australia pentas Wee Kiong-V Shem kembalikan rentak
Kejohanan Terbuka Australia yang bermula Selasa depan menjadi ruang buat gandingan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, untuk menemui semula rentak susulan kecederaan yang dialami mereka sebelum ini.
Wee Kiong mengalami kecederan lutut kiri manakala V Shem dibelenggu kecederaan belakang sehingga mereka tidak dapat beraksi dalam saingan Terbuka Indonesia.
Berdasarkan keadaan semasa, kecederaan Wee Kiong lebih membimbangkan tetapi Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, mengesahkan mereka akan beraksi di Australia.
Iklan
Selain itu, beberapa pertandingan lain juga akan disertai bekas gandingan nombor satu dunia itu dalam mempersiapkan mereka bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos depan.
"Dia semakin pulih dan kami yakin dia mampu beraksi di Australia, minggu depan.
"Kami juga berharap mereka dapat beraksi dalam Terbuka Amerika Syarikat (AS) kerana kami mahu pemain yang akan beraksi di Glasgow, Scotland, dan Sukan SEA (Kuala Lumpur 2017) turun dalam satu lagi pertandingan sebagai persiapan terakhir," katanya.
Sementara itu, Frost turut menaruh keyakinan persembahan konsisten gandingan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, dapat diteruskan sehingga Kejohanan Dunia nanti.
Mereka menggalas tugas yang lebih besar selepas kecederaan jangka panjang yang dialami Goh Liu Ying, sekaligus meranapkan impiannya untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia bersama Chan Peng Soon.
"Mereka beraksi begitu baik dalam Piala Sudirman, tanpa kalah dan menewaskan pasangan beregu Jepun dan China. Jadi, mereka beraksi dengan cukup baik dan pada hari ini, mereka mara ke suku akhir Terbuka Indonesia dengan menampilkan persembahan cemerlang.
"Mereka juga bakal mengharungi satu lagi kejohanan sebelum Kejohanan Dunia dan mereka juga akan ke AS."
Must-Watch Video