Skip to main content

Badminton

Sukan SEA: Peng Soon gesa skuad badminton negara atasi sasaran pingat emas

28717pengsoon.jpg
Pakar beregu campuran dan calon kapten skuad badminton Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Chan Peng Soon, menegaskan keperluan dia dan rakan sepasukan mempamerkan aksi luar
biasa mengatasi sasaran dua pingat emas dalam temasya itu.


Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran dua emas bersandarkan kepada skuad beregu campuran dan beregu wanita yang memiliki pengaruh pemain senior seperti gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

Peng Soon berasakan di sebalik ketiadaan Datuk Lee Chong Wei dan beregu nombor satu negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, sasaran sebenar dia dan rakan sepasukan adalah untuk mencabar baki lima pingat emas yang ditawarkan, termasuk dua dalam acara berpasukan.

"Jika melihat kepada ranking dunia, Malaysia tidak mempunyai pencapaian yang memberangsangkan tetapi saya yakin beraksi di Malaysia ia akan melonjakkan semangat pemain badminton negara," kata Peng Soon.

Pemain berusia 29 tahun ini bersedia untuk mengetuai cabaran skuad negara menerusi teladan apabila meletakkan sasaran peribadi untuk melihat dua wakil beregu campuran negara -- dia dan Cheah Yee See serta Goh Soon Huat-Shevon Lai -- dalam final KL2017.

Di Singapura dua tahun lalu, Peng Soon berjaya layak ke final bersama Goh Liu Ying sebelum tewas di tangan seteru dari Indonesia, Praveen Jordan-Debby Susanto.

"Saya berharap dapat memberikan yang terbaik, sasaran tetap ada tetapi tidak terlalu tertekan menghadapi kejohanan ini."

Advertisement

Must Watch Video