BADMINTON
Sukan SEA: BAM bakal putuskan pemain dan sasaran
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menetapkan sasaran pingat Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) yang akan diadakan pada 8 Jun ini.
Perkara itu dijelaskan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, selepas skuad negara selesai mengharungi kempen Piala Sudirman, baru-baru ini.
Dalam edisi 2015 di Singapura, Malaysia meraih dua pingat emas, empat perak serta dua gangsa.
Iklan
Emas negara disumbangkan oleh Chong Wei Feng dalam acara perseorangan lelaki di samping beregu wanita yang diwakili Soong Fie Cho-Amelia Anscelly.
Selain sasaran, skuad akhir yang akan ke Sukan SEA di samping pengesahan wakil negara dalam Kejohanan Dunia turut akan diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.
"Kami masih dalam proses perbincangan memandangkan tarikh akhir Kejohanan Dunia baru berakhir.
"Kemudian, kami akan menetapkan nama-nama pemain sebelum dihantar kepada Jawatankuasa Majlis Olimpik Malaysia (MOM), sedikit masa lagi.
"Buat masa ini, kami akan membincangkannya secara terperinci," kata Presiden BAM itu.
Dalam pada itu, BAM menghormati keputusan pemain profesional, Zulfadli Zulkiffli, yang berhasrat menyertai Kejohanan Dunia berbanding Sukan SEA.
Zulfadli layak secara merit untuk menyertai Kejohanan Dunia dan berasakan peluang itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
Bagaimanapun, Norza kekal yakin ketiadaan Zulfadli tidak menjejaskan hasrat kontinjen negara untuk mempamerkan persembahan cemerlang dalam Sukan SEA nanti dengan taruhan kini pastinya disandarkan kepada Iskandar Zulkarnain Zainuddin.
"Tawaran itu dibuka kepada Zulfadli dan diberi pilihan sama ada menyertai Kejohanan Dunia atau Sukan SEA.
"Dia memilih untuk bermain dalam Kejohanan Dunia dan tentu sahaja namanya tidak akan disenaraikan dalam Sukan SEA."
Must-Watch Video