Skip to main content

Badminton

SSPL: Tumpaskan juara bertahan, Puchong United mara ke final

puchongunited9218.jpg
Kelab Badminton (KB) Puchong United menepati ramalan melangkah ke perlawanan akhir SS Purple League (SSPL) 2017/18 selepas menewaskan juara bertahan, KB Petaling Jaya, 10-3 dalam aksi separuh akhir di Arena Of Stars, sebentar tadi.

Aksi kemas dan konsisten yang ditampilkan KB Puchong United semasa pusingan awal sehingga membolehkan mereka bergelar juara peringkat round robin sebelum ini terus dipamerkan pasukan itu. 

Penguasaan KB Puchong United sudah terserlah sejak acara perseorangan lelaki apabila pemainnya, Chou Tien Chen, mudah menewaskan pemain KB Petaling Jaya, Goh Giap Chin 3-1 (10-11, 11-10, 11-6, 11-10).

Dalam acara perseorangan wanita selepas itu, KB Puchong United terus melebarkan jurang mata selepas pemain mereka, Deng Xuan, menang juga dengan keputusan 3-1 (11-9, 11-7, 7-11, 11-7) menewaskan pemain KB Petaling Jaya dari Thailand, Supanida Katethong.

Belum cukup dengan itu, acara beregu lelaki turut didominasi oleh KB Puchong United melalui gandingan Mak Hee Chun-Yoo Yeon Seong dengan keputusan 3-1 (10-11, 11-10, 11-8, 11-7) biarpun cuba diberi tentangan sengit oleh Chooi Kah Ming-Kim Gijung. Kemenangan ketiga yang diraih itu meletakkan KB Puchong United mendahului selesa 9-3.

KB Puchong United yang hanya memerlukan satu mata kemenangan untuk mara ke perlawanan akhir, tidak bermasalah untuk mendapatkan mata tersebut dalam acara beregu campuran. Gandingan Shevon Jemie Lai-Tan Kian Meng menang 1-0 (11-3) ke atas Kim Sa Rang-Ti Wei Chyi dan itu sudah cukup untuk mengesahkan tempat mereka di pentas akhir SSPL musim ini.

Pengurus KB Puchong United, Irina Inozemtseva, berkata, “Secara peribadi, walaupun sudah empat kali membawa pasukan KB Puchong United ke peringkat akhir SS Purple League di sini, perasaan gemuruh tetap sama kerana kami tidak bermain semalam (playoff) dan terus beraksi dalam separuh akhir hari ini.

“Tahun lalu, kami bergelar naib juara meskipun pemain telah melakukan yang terbaik. Kita boleh lihat daripada perlawanan pertama, saya sentiasa menasihati pemain supaya fokus dalam setiap mata sekalipun. Itu saja cara untuk pasukan mengekalkan fokus.

"Dalam perlawanan akhir nanti, saya harap pemain dapat bersedia secara mental biarpun memiliki pasukan terkuat. Namun, semangat berpasukan dan kerjasama amat diperlukan untuk memenangi perlawanan itu nanti,” kata Irina selepas perlawanan.

Satu lagi aksi separuh akhir antara KB Kepong dan KB Cheras akan berlangsung malam ini di venue sama. Pemenang pertemuan itu bakal bertemu KB Puchong United dalam perlawanan akhir SSPL 2017/18 Ahad ini.
 
Keputusan Separuh Akhir 1 SS Purple (9/2/2018)

4pm: KB Puchong United kalahkan KB Petaling Jaya 10-3

MS1: Chou Tien Chen mn Goh Giap Chin 3-1 (10-11, 11-10, 11-6, 11-10)

WS: Deng Xuan mn Supanida Katethong 3-1 (11-9, 11-7, 7-11, 11-7)

MD: Mak Hee Chun-Yoo Yeon Seong mn Chooi Kah Ming-Kim Gijung 3-1 (10-11, 11-10, 11-8, 11-7)

XD: Shevon Jemie Lai-Tan Kian Meng mn Kim Sa Rang-Ti Wei Chyi 1-0 (11-3, Retired)

Advertisement

Must Watch Video