Skip to main content

Advertisement

Badminton

Seluruh England: Aaron-Wooi Yik mahu tamat penantian 12 tahun

aaronwooiyik.jpg
Setelah berjaya mencipta kejutan mara ke perlawanan akhir dalam penampilan pertama Kejohanan Badminton Seluruh England 2019, beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, kini mula mengintai peluang menamatkan penantian 12 tahun Malaysia untuk membawa pulang gelaran juara ke tanah air.

Kali terakhir beregu lelaki Malaysia merangkul gelaran tersebut adalah menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam edisi 2007.

Selepas satu dekad, Aaron dan Wooi Yik, yang baru sahaja tampil kali pertama, berpeluang untuk menamatkan penantian Malaysia setelah melakar satu lagi kejutan -- menyingkirkan satu lagi pencabar terkuat, Fajar Alfian dan Mohammad Rian Ardianto dari Indonesia, dalam aksi tiga set yang penuh mendebarkan.

Ini juga merupakan prestasi terbaik mereka apabila sebelum ini sudah pun menyingkirkan pilihan kelima kejohanan, Kim Astrup-Anders Skaarup Rassmusen dari Denmark, dalam pusingan kedua, seterusnya juara dunia dari China, Zhang Nan-Liu Cheng, di peringkat suku akhir.

"Kami berharap untuk bergelar juara. Kami enggan meletakkan tekanan yang tinggi dan cuba untuk menikmati permainan kami. Kami akan cuba melakukan yang terbaik dalam aksi final," kata Aaron.

Meskipun lawan, Hendra Setiawan dan Mohd Ahsan, mempunyai kelebihan daripada segi pengalaman, memandangkan mereka pernah merangkul kejuaraan ini bagi edisi 2014 selain hadir dengan status bekas nombor satu dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2008, kelebihan buat Aaron dan Wooi Yik apabila Setiawan kini bergelut dengan kecederaan betis kanan ketika menghadapi separuh akhir menentang pasangan Jepun, Keigo Sonoda-Takeshi Kamura.

"Kekuatan dan kelajuan adalah kelebihan buat kami. Saya dan Aaron akan berusaha untuk tidak mengecewakan setiap sokongan yang diberikan kepada kami," kata Wooi Yik.

Advertisement

Must Watch Video