Skip to main content

Advertisement

Badminton

Seluruh England: Aaron-Wooi Yik cipta kejutan lagi, mara ke separuh akhir

asiana-50813.jpg
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, melakar kejutan apabila menyingkirkan gandingan berpengalaman dari China untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Seluruh England 2019 di Birmingham.

Turun dengan status pasangan ‘underdog’, Aaron-Wooi Yik, tidak dibebani tekanan, sebaliknya mempamerkan aksi meyakinkan berdepan Liu Cheng-Zhang Nan dalam aksi suku akhir itu.

Dalam set pertama, Aaron-Wooi Yik, tidak jemu melakukan serangan dan bijak mengawal gelanggang sehingga gandingan China itu seperti buntu mencari mata, sekali gus memberikan kemenangan 21-19 buat pasangan Malaysia.

Pasangan China itu bangkit dalam set kedua dengan kemenangan 21-17 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Tersentak dengan kebangkitan Liu Cheng-Zhang Nan dalam set kedua, pasangan negara kembali konsisten dan meminimumkan kesilapan yang membolehkan mereka melengkapkan kemenangan 21-12 dalam set ketiga.

Pasangan yang pernah mencipta kejutan mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia edisi 2018 itu bakal berdepan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, dalam pertembungan separuh akhir esok.

Sementara itu, jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman, memuji anak buahnya yang tidak berputus asa ketika tewas dalam set kedua, sebaliknya cepat mengawal permainan dalam set penentuan.

“Mereka bermain bagus dengan strategi yang betul, lebih berinisiatif bermain menyerang dahulu. Hanya dalam permainan set kedua, enam mata terakhir, pertahanan lawan solid, susah untuk mematikan lawan, ada sedikit kurang sabar.

“Tapi mereka bagus, permainan mereka boleh kembali cepat dalam perlawanan yang ketiga,” kata Paulus.

Mengenai lawan mereka dari Indonesia dalam separuh akhir esok, Paulus berkata Aaron-Wooi Yik hanya perlu kekal fokus dan tidak boleh berasa selesa selepas mara ke separuh akhir.

Gandingan muda negara itu perlu terus ‘garang’ ketika di gelanggang walaupun sedar lawan yang ditentang bukan calang-calang.

“Lawan mempunyai ranking lebih tinggi dan juga (pemenang pingat) perak Sukan Asia 2018.

“Esok mereka perlu bermain dengan berani saja, tetap jaga fokus, jangan berasa sudah puas hati sudah masuk separuh akhir. Mereka harus tetap 'lapar' mahukan yang lebih,” katanya.

Terdahulu, Fajar-Muhammad Rian yang juga pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 mengetepikan satu lagi beregu negara yang kini berstatus profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, 22-20, 21-12 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video