BADMINTON
Piala Uber: Soniia yakin cergas sepenuhnya
Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah Su Ya, bakal mengharungi tempoh tiga minggu yang cukup penting dalam persiapannya untuk membawa cabaran Malaysia dalam Piala Uber di Bangkok, dari 20 hingga 27 Mei ini.
Persembahan baik yang dipamerkan dalam Sukan Komanwel Gold Coast yang berakhir dua minggu lalu memberi bayangan Soniia antara sandaran utama bagi memperoleh mata dalam Piala Uber nanti.
Di sebalik kecederaan buku lali yang dialami, Soniia meletakkan keyakinan tinggi dapat berada pada tahap terbaik sebelum bermulanya cabaran negara.
Iklan
Selain Soniia, bahagian perseorangan wanita dijangka akan dibarisi Goh Jin Wei dan Lee Yin Ying.
"Saya masih ada dua hingga tiga minggu sebelum Piala Uber. Setakat ini, persiapan sangat baik. Kami berlatih sangat gigih dan jurulatih juga membantu saya.
"Saya berada dalam keadaan baik dengan menyertai latihan penuh. Tetapi saya masih perlu berjaga-jaga juga," kata Soniia.
Skuad Piala Uber negara berdepan cabaran tersendiri apabila diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, China, Indonesia dan Perancis.
Menurut Soniia, tiada istilah pasukan pilihan apabila kejohanan membuka tirainya nanti dan peluang Malaysia untuk mencipta keputusan luar jangkaan tetap ada.
"Saya tidak mahu kata ia sangat sukar kerana kami masih ada peluang untuk mara ke suku akhir. Dalam saingan ini, semua pemain adalah kuat.
"Jadi, saya perlu melakukan dengan baik. Saya perlu berlatih bersungguh-sungguh dan berjuang di sana nanti," katanya lagi.
Skuad wanita negara akan memulakan saingan dengan berdepan Indonesia pada 21 Mei, disusuli pertemuan menentang China sehari kemudian.
Dalam perlawanan terakhir kumpulan pula, Malaysia akan bertemu Perancis pada 23 Mei.
Must-Watch Video