BADMINTON
Pemain lain akan rasa apa yang saya rasa -- Chong Wei
Skuad perseorangan lelaki boleh menjangkakan perubahan radikal terhadap program latihan dan perspektif sebagai seorang pemain badminton sebaik Datuk Misbun Sidek memulakan tugas 1 Julai ini.
Itu merupakan pandangan peribadi jaguh peseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, yang turut menegaskan bukan mudah untuk memujuk mentornya kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.
Chong Wei adalah contoh terbaik dalam mencerminkan kemampuan Misbun sebagai seorang jurulatih.
Iklan
Tetapi pemain lain dalam skuad perseorangan negara hanya melihat hasil sentuhan Misbun tanpa mengetahui pengorbanan yang pernah dilalui Chong Wei.
Bukan satu rahsia bahawa program Misbun memerlukan komitmen daripada pemain di samping ketahanan fizikal dan mental.
"Apabila dia (Misbun) memulakan tugas 1 Julai ini, saya rasa budak-budak ini akan rasa apa yang saya rasa.
"Pemain baru yang ada ketika ini hanya nampak saya beraksi di tahap terbaik dan muncul juara beberapa kejohanan tetapi mereka tidak pernah melihat kesukaran yang saya tempuhi untuk mencapai tahap ini.
"Saya rasa pemain muda yang ada ketika ini akan tahu apa yang saya lalui sebelum ini," jelas Chong Wei.
Misbun meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Januari 2011 dalam keadaan penuh kontroversi dan sehingga hari ini mengundang pelbagai spekulasi terhadap faktor keputusannya itu.
Disebabkan apa yang pernah berlaku, Chong Wei berasakan adalah sesuatu yang menakjubkan apabila mentornya bersetuju untuk kembali memacu misi di bawah BAM.
"Hubungan kami berdua umpama seorang ayah dan anak. Kami telah berjumpa beberapa kali sebelum dia menyatakan persetujuan.
"Kepulangannya adalah satu berita baik buat saya dan keseluruhan skuad perseorangan lelaki negara," tambahnya.
Sementara itu, jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, tidak terkecuali dalam menyambut baik kepulangan Misbun.
Bagaimanapun, antara tugas utama Misbun adalah menentukan hala tuju program skuad perseorangan lelaki.
Ketika ini, Hendrawan mengetuai program khas membabitkan pemain senior seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin sementara Indra Wijaya mengemudi skuad pemain muda.
"Saya ucapkan selamat kembali kepada Datuk Misbun. Kami pernah bekerjasama sebelum ini dan diharapkan gandingan kali ini kami dapat menghasilkan sesuatu yang lebih baik.
"Saya percaya kami akan memberikan usaha yang terbaik untuk pemain perseorangan lelaki," ujar Hendrawan.
Must-Watch Video