Skip to main content

Badminton

Pandangan bekas jaguh negara akan diambil kira dalam BAM

bam-030617.jpg
Mungkinkah bekas pemain negara akan diserap masuk ke dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ekoran pengumuman rombakan kejurulatihan sedia ada seperti yang diumumkan badan induk itu, semalam?

Meskipun rombakan barisan kejurulatihan itu masih di peringkat cadangan, difahamkan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, sudah pun menemui beberapa bekas pemain seperti Lee Tsuen Seng, Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock, Ismail Saman dan Hafiz Hashim. 

Tidak menolak mereka mungkin diserapkan, Norza menjelaskan ia masih di peringkat awal untuk dibincangkan dan hanya akan memperincikannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), 8 Jun depan. 

"Buat masa ini, itu bukan keputusan saya. 

"Saya mahu bahagian teknikal melihat mereka yang layak untuk bersama dalam barisan kejurulatihan kita," katanya ketika dihubungi. 

Perubahan struktur kejurulatihan BAM disuarakan ekoran persembahan buruk kem negara sejak kebelakangan ini, terutama kekalahan mengecewakan dalam kempen Piala Sudirman, bulan lalu.. 

Fokus utama pertemuan Norza dengan barisan bekas pemain itu juga lebih tertumpu kepada mendengar idea mereka bagi membantu mengatasi kemerosotan kem negara ketika ini. 

"Kami mahu melihat langkah untuk bekerjasama dengan bekas-bekas pemain. 

"Mungkin kami akan mewujudkan suruhanjaya atlet, di mana bekas-bekas atlet boleh bersama-sama menjadi sebahagian daripada ahli majlis BAM."
 

Advertisement

Must Watch Video