Skip to main content

Badminton

Misbun enggan lihat moral Chong Wei menjunam

7417misbunsidek.jpg
Ketua jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek, akan membuat perancangan tersendiri dalam mempersiapkan Datuk Lee Chong Wei bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, 21-27 Ogos ini.

Kembalinya Misbun dalam sistem kejurulatihan skuad badminton kebangsaan pastinya memberi harapan baru buat Chong Wei untuk memburu gelaran dunia yang masih belum ada dalam koleksi kejuaraannya.

Dengan tempoh persiapan kurang daripada dua bulan untuk saingan di Glasgow, Misbun mahu meneliti semua aspek yang perlu ditingkatkan pemain berusia 34 tahun itu andai ingin merealisasikan impian bergelar juara dunia.

"Sekarang ini susahnya apabila Chong Wei telah dijadikan sasaran utama kepada lawan di luar sana.

"Jadi, permainannya tidak ada (tidak perlu) banyak berkisar kepada pukulan lentok-lentok. Permainannya terus ke depan, itu adalah senjata utamanya. Apa yang cuba ditekankan di sini, Chong Wei harus bijaksana," katanya.

Dalam pada itu, Misbun juga tidak gusar dengan kekurangan pertandingan yang disertai Chong Wei pada tahun ini 

Aksi kompetitif terakhir yang disertai Chong Wei ialah Terbuka Indonesia pada bulan lalu di mana dia dikejutkan dengan kekalahan dalam pusingan kedua kepada pemain India, HS Prannoy. 

Lantaran itu, Chong Wei mengambil keputusan tidak menyertai Terbuka Australia dan terus memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia.

Selain itu, dia juga tewas kepada Lin Dan dalam dua aksi final, iaitu Terbuka Malaysia di Kuching pada April dan Kejohanan Badminton Asia di China pada Mei.

"Apabila dia sekarang pergi, dua, tiga kali kalah biasanya moral seseorang pemain itu akan turun sedikit. Moral itu ialah daripada keyakinan, kemudian apabila dia sudah sekali kalah, dua kali kalah, dia berasakan macam kalahnya itu teruk sekali. 

"Kami tidak mahu elemen itu. Yang penting adalah bagaimana kami nak siapkan dia kepada satu pertandingan ke satu pertandingan," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video