Skip to main content

Advertisement

Badminton

Misbun bingung dengan status Chong Wei

misbun.jpg
Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, sendiri bingung sama ada anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei, akan sah beraksi ataupun sebaliknya dalam Kejohanan Badminton Dunia di Nanjing, China, minggu depan biarpun sudah lama tidak turun berlatih.

Chong Wei dilaporkan sudah seminggu tidak turun berlatih di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara atas alasan masih lagi berehat.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus mengunci mulut mengenai status Chong Wei sama ada dia akan turun bersaing dalam Kejohanan Dunia ataupun menarik diri.

Begitu juga Misbun yang bingung dengan situasi itu dan hanya anak didiknya itu lebih mengetahui apa yang terjadi.

"Jika Chong Wei tidak mahu beraksi, dia akan memberitahu kepada kami. Selepas saingan Terbuka Malaysia, dia nampak keletihan dan terus tampil beraksi dalam Terbuka Indonesia," kata Misbun.

Andaian mengatakan Chong Wei bakal menarik diri kerana mahu memberikan tumpuan kepada Sukan Asia yang akan berlangsung kurang daripada dua minggu selepas tamat Kejohanan Dunia. 

Sungguhpun begitu, ia dianggap satu kerugian kerana Chong Wei dilihat mempunyai peluang cerah untuk menamatkan badi meraih gelaran dunia buat kali pertama.

"Tahun ini Chong Wei memiliki peluang cerah untuk muncul juara. Jika dia tidak beraksi, saya dan Goh Liu Ying akan mengambil tanggungjawab untuk mengejar gelaran juara dunia di Nanjing," kata pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon.

"Ketiadaan Chong Wei adalah kehilangan buat peminat yang hadir menantikan dia beraksi," kata pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia.

Sementara itu, chef-de-mission (CDM) negara ke Sukan Asia Indonesia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, mengharapkan agar Chong Wei pulih segera.

Sekalipun terlepas penyertaan Kejohanan Dunia 2018, peluang masih realistik untuk dia beraksi dalam edisi 2019.

Tetapi sudah pasti tidak untuk Sukan Asia memandangkan ketika edisi 2022, Chong Wei akan menjengah usia 40 tahun.

"Saya berharap agar Chong Wei dapat pulih sepenuhnya untuk beraksi dalam Sukan Asia kerana ia bakal menjadi penampilan terakhirnya," kata Azim.

Advertisement

Must Watch Video