Skip to main content

Badminton

Kes atur perlawanan: BAM belum beri penjelasan

chinchai14218.jpg
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) enggan memberi reaksi berhubung dakwaan mengatur perlawanan melibatkan dua pemain negara demi memberi ruang untuk pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan.

Wartawan hadir di Akademi Badminton di Bukit Kiara pagi tadi, dengan usaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai, mengenai hukuman yang bakal dikenakan jika didapati bersalah, turut gagal. 

Chin Chai berkata beliau tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan komen daripada Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund, di Kuala Lumpur juga tidak berjaya.

Difahamkan, dua pemain negara yang didakwa mengatur perlawanan itu tidak berada di bawah naungan BAM.

Salah seorang daripadanya pernah menjuarai dua kejohanan tetapi belum pernah membarisi skuad negara ke Piala Thomas sementara seorang lagi pemain tidak tersenarai dalam ranking 100 terbaik dunia walaupun pernah beraksi secara solo dan beregu.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, semalam mengesahkan dua pemain profesional tempatan sedang disiasat badan badminton dunia itu di atas dakwaan mengatur perlawanan.

Kes ini adalah yang pertama melibatkan pemain Malaysia yang didakwa terbabit dengan skandal mengatur perlawanan dalam siasatan BWF.

Mengikut peraturan ditetapkan BWF, mana-mana pemain yang didapati bersalah dengan skandal mengatur perlawanan boleh dikenakan penggantungan seumur hidup.

Advertisement

Must Watch Video